PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Hujan lebat lega penduduk Tuaran, Tamparuli

Hujan lebat lega penduduk Tuaran, Tamparuli

TUARAN: Hujan lebat kira-kira sejam yang berlaku di Tuaran dan Tamparuli petang ini, melegakan penduduk selepas hampir dua bulan mengalami cuaca panas dan kering.

Tinjauan mendapati, penduduk di beberapa perkampungan yang menerima hujan itu sejak jam 3 petang mengambil peluang menadah air hujan itu untuk kegunaan.

 

Penduduk Kampung Bantayan, Hayati Sidek, 57, bersyukur dengan kejadian hujan itu, sambil berharap kedatangan hujan sebagai petanda berakhirnya cuaca panas.

"Syukur dengan kedatangan hujan lebat itu. Mudah-mudahan hujan itu akan berterusan sehingga paras sungai kembali seperti biasa. "Bekalan air graviti kami sudah hampir dua minggu kering disebabkan cuaca panas dan kebakaran hutan," katanya. 

Tuaran, Tamparuli dan Kiulu antara daerah sebelah sini yang turut terjejas oleh cuaca panas sehingga menyebabkan sumber bekalan air semakin kurang. 

Fenomena cuaca panas itu juga menjejaskan paras simpanan air Loji Rawatan Air Telibong, Tamparuli terjejas teruk hampir sebulan lalu.

Seorang lagi penduduk, Arthur Edward, 42, berharap dengan perubahan cuaca itu dapat mengembalikan paras sungai Tamparuli yang susut sejak dua bulan lalu.

"Saya berharap hujan lebat yang berlaku petang ini, akan berterusan sehingga beberapa hari akan datang.

"Jika itu berlaku, paras air sungai akan kembali kepada keadaan biasa dan kejadian kebakaran hutan juga akan terpadam," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata, peralihan monsun dijangka bermula 29 Mac ini dan berterusan sehingga Mei depan.

Fasa itu akan menyaksikan negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

METMalaysia berkata, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang bermula sejak 11 November lalu.

Kejadian itu berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak. 

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search