PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir Terengganu: Kemaman dan Marang masih terjejas, 2,545 mangsa kekal di PPS

Seramai 2,545 mangsa daripada 637 keluarga masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Kemaman dan Marang setakat jam 6 petang tadi.

Manakala banjir yang melanda daerah Hulu Terengganu, Dungun, dan Setiu telah pulih sepenuhnya pada Rabu.

Menerusi laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kemaman terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,532 mangsa, di mana sebanyak lima PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 633 keluarga .

Sementara itu, seramai 13 mangsa daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai, Marang.

Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa kawasan di negeri ini, namun ia menunjukkan trend penurunan.

 

Terengganu, Pahang, Johor alami hujan berterusan hingga Sabtu ini

KUALA LUMPUR – Amaran hujan berterusan (Buruk) berkuat kuasa sehingga 23 November 2024 melibatkan Terengganu, Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Manakala amaran hujan berterusan (Waspada) sehingga 23 November 2024 melibatkan negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok,Machang dan Pasir Puteh) dan Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera).

Amaran hujan berterusan (Waspada) sehingga 20 November 2024 di Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol dan Tampin); Melaka; dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru). – MalaysiaGazette

Sungai Muar di Segamat bakal melimpah menyebabkan banjir

KUALA LUMPUR: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) hari ini meramalkan kawasan rendah berhampiran Sungai Muar di Segamat akan berlaku banjir disebabkan status aras air sungai yang menaik dan melebihi aras bahaya,

Dalam satu kenyataan, PRABN berkata banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan iaitu jam 4 petang tadi, sekiranya hujan yang signifikan berlaku di kawasan berkenaan.

" Lokasi dijangka banjir adalah Sungai Muar di daerah Segamat, membabitkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Muar di Kampung Awat.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir," katanya di sini hari ini.

PRABN meminta orang ramai melayari laman sesawang di https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut.

JPS pantau 132 stesen hidrologi, 17 siren amaran banjir

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sentiasa memantau 132 stesen hidrologi di seluruh negeri dan 17 siren amaran banjir agar ia berfungsi dengan baik.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja menyelenggara sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng juga telah dilakukan bagi memastikan ia berfungsi di tahap optimum pada waktu puncak.

 

"Kita akan turut melakukan pemantauan melalui lapan kamera litar tertutup di sungai-sungai utama untuk merekodkan kenaikan paras air semasa.

"Kita harap ia dapat membantu rakyat membuat persiapan meminimumkan kerugian harta benda," katanya ketika menjawab soalan lisan Azbi Salleh (Pas - Kuala Besut) mengenai persiapan kerajaan negeri berdepan musim tengkujuh pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.

Tambahnya, sebanyak 449 lokasi hotspot berisiko banjir di seluruh Terengganu telah dikenal pasti oleh JPS.

"Daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 97 lokasi diikuti daerah Hulu Terengganu (66 kawasan).

"Di Setiu, ia melibatkan 58 kawasan, Dungun (56) kawasan), Kemaman (55 kawasan), Kuala Nerus (48 kawasan), Marang (35 kawasan) dan Besut (34 kawasan)," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan Persekutuan menyalurkan sebanyak RM11.27 juta kepada Terengganu untuk membuat persiapan banjir dalam musim tengkujuh tahun ini.

Katanya, peruntukan tersebut merangkumi peruntukan kecemasan luar jangka, risiko banjir dan penyelenggaraan kolam takungan banjir.

"Semua kerja-kerja naik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir juga telah dilakukan di semua lapan daerah dengan peruntukan tersebut," ujarnya.

Pada tahun ini, kerajaan menjangkakan terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung.

NAFFCO perkenal teknologi pengurusan bencana - Ahmad Zahid

DUBAI - Malaysia dijangka dapat meraih manfaat besar daripada penggunaan teknologi inovatif seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) yang diketengahkan oleh syarikat-syarikat terkemuka di Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk NAFFCO.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, teknologi ini berpotensi memperkukuhkan sistem pengurusan bencana negara sekali gus meningkatkan keupayaan negara dalam menangani cabaran semasa.

“Semasa berada di Dubai, saya berpeluang melawat NAFFCO, sebuah peneraju global dalam bidang keselamatan dan perlindungan dengan kehadiran di lebih daripada 100 negara.

“Usaha mempelajari teknologi terkini serta pertukaran pengetahuan amat penting, terutama ketika kita bersiap siaga menghadapi risiko global seperti bencana yang dipengaruhi oleh perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Ahmad Zahid dan delegasi telah melawat ibu pejabat dan kilang NAFFCO di kawasan Zon Bebas Jebel Ali, Dubai pada Isnin.

Antara pengurusan tertinggi NAFFCO yang menyambut kedatangan rombongan delegasi Malaysia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif NAFFCO, Khalid Al Khatib dan Pengarah Urusan, Ali Khalid Al Khatib.

NAFFCO (National Fire Fighting Manufacturing FZCO) merupakan pengeluar produk pemadam kebakaran yang berpangkalan di Timur Tengah dan produknya terdiri daripada dua segmen perniagaan utama iaitu perkhidmatan keselamatan serta perlindungan kebakaran.

Tambah Ahmad Zahid, kepakaran dan komitmen NAFFCO sejajar dengan misi kita untuk melindungi nyawa, harta benda, dan alam sekitar.

“Dengan meneroka peluang kerjasama, kita dapat memperkukuh kesiapsiagaan bencana, memperkasakan barisan penyelamat, dan memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Bersama, kita mampu membina masa depan yang lebih selamat, lestari, dan berdaya tahan,” katanya lagi.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search