Melaka: Penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur di negeri ini kini giat membersihkan kediaman masing-masing selepas air mulai surut, namun berharap lebih ramai sukarelawan tampil membantu kerja-kerja pembersihan.
Tinjauan di Taman Rambai Indah mendapati kebanyakan penduduk bergotong-royong membersihkan rumah masing-masing, selain terpaksa membuang perabot dan barangan elektrik yang rosak akibat ditenggelami banjir.
Warga emas, Norjalilah Kaur Abdullah, 62, berkata, kerja-kerja pembersihan selepas banjir kali ini cukup memeritkan hingga membuatkannya hampir menitiskan air mata.
Menurutnya, ketika kejadian dia tinggal bersama anak bongsunya berusia 22 tahun dan bersyukur apabila ada sukarelawan datang membantu melakukan kerja-kerja pembersihan sekali gus meringankan beban mereka.
Katanya, pada awalnya dia berasa bimbang memikirkan keadaan dirinya yang sudah berusia untuk membersihkan kesan banjir lumpur yang memasuki kediamannya dari ruang tamu hingga ke dapur, malah beberapa bilik juga masih digenangi air bertakung.
"Penat sangat sampai rasa mahu menangis, lebih-lebih lagi dengan keadaan umur begini, memang sukar untuk mengemas rumah.
"Setakat ini saya dan anak-anak buat yang termampu kerana ini banjir paling teruk sejak saya menetap di taman ini lebih 20 tahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Norjalilah, dia masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian dialami akibat banjir berkenaan.
Sementara itu, Acul Adnan,50, berkata, banjir kali ini adalah yang paling teruk dialaminya sejak lebih 30 tahun menetap di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian semalam, dia yang sedang bekerja di Krubong berasa tidak sedap hati sebelum mengambil keputusan pulang ke rumah.
"Saya balik ke rumah sebelum air masuk kira-kira jam 2 petang dan masa tengah memindahkan barang penting air terus masuk deras sehingga tak sempat alihkan barang besar seperti peti ais.
"Apabila keadaan cuaca nampak cerah, saya mengambil keputusan membersihkan rumah tetapi bantuan tenaga masih kurang," katanya.
Tambahnya, kerja-kerja pembersihan selepas banjir memerlukan tenaga ramai terutama bagi mengeluarkan barangan rosak serta membersihkan lumpur yang memenuhi kediaman.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang membantu mangsa banjir berkata, dianggarkan lebih 250 rumah dalam kawasan DUN berkenaan terjejas dan perlu melalui proses pasca banjir.
Menurutnya, setakat ini beberapa pasukan sukarelawan termasuk Skuad Bantuan Krisis MCA (CSRM), Belia 4B dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membantu mangsa banjir yang terbabit.
Dia juga berharap lebih ramai sukarelawan tampil membantu penduduk yang masih bergelut membersihkan kediaman masing-masing.
"Memandangkan ini adalah banjir terburuk melanda beberapa kawasan dalam DUN Klebang, kita berharap lebih ramai sukarelawan tampil bersama membantu bagi meringankan beban mangsa banjir," katanya.
MELAKA – Situasi banjir di Melaka semakin pulih apabila hanya 48 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, dua PPS yang masih beroperasi ialah Balairaya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.
Menurut beliau, PPS Balairaya Kampung Seri Jeram menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga, manakala PPS SK Tehel menempatkan 43 mangsa daripada 11 keluarga.
“Alhamdulillah, keadaan banjir di Melaka semakin pulih apabila kebanyakan mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut dan kediaman mereka selamat untuk diduduki semula.
“Semua PPS di daerah Melaka Tengah telah ditutup sepenuhnya, begitu juga PPS Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah di Alor Gajah selepas kesemua mangsa selesai pulang ke kediaman masing-masing,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kawasan yang masih terjejas ketika ini ialah Kampung Seri Jeram di Masjid Tanah serta Kampung Gapam, Kampung Lubok Kasau dan Kampung Tehel (Parit Lampung) di daerah Jasin.
“APM Melaka akan terus memantau kawasan berisiko banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Trend penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS menunjukkan keadaan banjir di negeri ini semakin terkawal dan kini memasuki fasa pemulihan,” katanya.
MELAKA: Kerajaan Melaka akan mengkaji kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini terutamanya di kawasan Tanjung Minyak yang berlarutan lebih 30 tahun, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata langkah itu termasuk meneliti syor serta cadangan dikemukakan agensi berkaitan bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kejadian banjir yang kerap melanda kawasan berkenaan.
"Kita akan mengkaji bagaimana kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sudah tertangguh (berlarutan) lebih daripada 30 tahun terutama di kawasan Tanjung Minyak ini.
"Saya akan beri perhatian supaya kaedah dan syor yang diberikan oleh agensi berkaitan dapat membantu mengurangkan beban akibat curahan hujan yang terlalu tinggi di kawasan ini yang menyebabkan banjir kerap berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Muhamad.
Mengulas kejadian banjir yang berlaku dibeberapa kawasan di negeri itu, Ab Rauf berkata hujan lebat yang melepasi paras kebiasaan menyebabkan sistem takungan air tidak mampu menampung jumlah air yang banyak sehingga melimpah ke kawasan perumahan.
Katanya, setakat hari ini, lebih 900 mangsa daripada kira-kira 300 keluarga ditempatkan di beberapa PPS di seluruh negeri dan kerajaan akan memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian sehingga keadaan kembali pulih.
"Segala kebajikan mereka di PPS akan diuruskan oleh JKM sementara menunggu air surut dan kita berharap hujan tidak lagi turun pada kadar luar biasa supaya mereka dapat pulang ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut mengarahkan semua agensi berkaitan berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan tindak balas kepada mangsa banjir dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, bantuan segera kepada mangsa yang terjejas turut diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan akan disalurkan oleh kerajaan negeri.
Semalam, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi dilaporkan berkata taburan hujan yang tinggi di Melaka Tengah dan Alor Gajah, yang melebihi taburan hujan ketika Ribut Tropika Senyar pada akhir tahun lepas, menjadi antara punca banjir di kedua-dua daerah berkenaan hari ini.
Beliau dipetik sebagai berkata jumlah taburan kumulatif hujan tertinggi, iaitu melebihi 100 milimeter (mm) telah dicatatkan di dua daerah itu pada 2.30 petang.
– BERNAMA
Banjir: Kerajan Melaka mohon maaf,komited terus tangani masalah sebaik mungkin - EXCO Kanan
- Admin UKK
- Berita
MELAKA: Kerajaan Melaka melahirkan rasa simpati terhadap penduduk di negeri ini yang terjejas akibat banjir dan memohon maaf sekiranya masih terdapat kelemahan dalam menangani bencana itu.
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi mangsa terutama membabitkan kerosakan harta benda akibat bencana banjir.
Katanya, pihaknya tidak mampu menghalang sepenuhnya kejadian bencana alam, namun komitmen kerajaan negeri adalah untuk terus memperkukuh sistem tebatan banjir bagi mengurangkan risiko pada masa akan datang.
"Kerajaan Melaka melahirkan rasa simpati kepada semua yang terjejas, sebagai EXCO yang berkaitan dengan bencana banjir, saya mohon maaf mungkin di pihak saya masih belum dapat menyempurnakan segala-galanya.
"Tetapi insya Allah komitmen kita untuk memastikan Melaka terus mendapat peruntukan dan melaksanakan pelbagai projek RTB (Rancangan Tebatan Banjir bagi memastikan rakyat tidak terjejas dengan teruk akibat banjir," katanya
Rais berkata kerajaan negeri menerima peruntukan bernilai berbilion ringgit dalam tempoh lima tahun bagi melaksanakan pelbagai projek RTB terutama di kawasan yang sering dinaiki air.
Katanya, antara projek berkenaan adalah RTB Sungai Duyong, RTB Ayer Limau, RTB Ayer Salak, RTB Alor Gajah dan RTB Sungai Baru di Masjid Tanah.
Katanya, projek RTB yang besar iaitu RTB Sungai Baru Masjid Tanah bernilai RM450 juta kini berada dalam tempoh reka bentuk dan dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
"Kita juga difahamkan akan mendapat kelulusan RTB di Sungai Ayer Salak bernilai RM130 juta yang akan memberi manfaat kepada kawasan Bukit Rambai dan Tanjung Minyak.
"Projek ini bukan penyelesaian segera kerana mengambil masa untuk dilaksanakan, tetapi ia adalah usaha jangka panjang bagi generasi akan datang," katanya.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, bagi kawasan Bukit Rambai khususnya Taman Rambai Jaya dan Taman Rambai Utama, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa projek termasuk kerja-kerja menggali kolam banjir bernilai lebih RM5 juta.
Katanya, selain itu JPS juga tmeluluskan projek bernilai RM2 juta bagi membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan berkenaan.
"Insya Allah di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kita akan terus memastikan rakyat Melaka tidak terjejas dengan teruk dalam bencana banjir," katanya.
MELAKA: “Baru saya keluarkan barang dari laci untuk letakkan atas katil, tiba-tiba air sudah masuk ke dalam bilik.”
Demikian detik cemas dikongsi Mahaya Suratman, 70, apabila rumahnya di Rambai Jaya di sini dinaiki air banjir kilat yang disifatkannya paling buruk pernah dialami kelmarin.
Mahaya berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama suami yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
“Hujan tidaklah terlalu lebat, sekejap berhenti, sekejap lebat. Tiba-tiba longkang penuh dan air naik dengan sangat cepat.
“Saya sempat angkat sedikit barang tetapi air terus masuk ke dalam rumah sehingga ke bilik. Memang tak sangka air naik secepat itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Minyak 2, semalam.
Katanya, paras air di luar rumah mencecah lutut manakala dalam rumah sekitar betis dan bah kali ini jauh lebih buruk berbanding kejadian sebelumnya.
Mahaya berkata, anaknya yang tinggal di Merlimau bergegas pulang membantu menyelamatkan barangan elektrik termasuk peti sejuk dan mesin basuh dengan meletakkannya di tempat lebih tinggi.
“Saya sendiri tak larat buat apa-apa. Cucu-cucu yang tolong angkat barang. Kucing pun saya selamatkan dulu dan letakkan di atas peti sejuk,” katanya.
Katanya, keluarganya berpindah ke PPS pada sebelah petang dan setakat ini belum dapat pulang ke rumah kerana keadaan belum mengizinkan.
Seorang lagi mangsa, Abdul Wahab Osman, 80, dari Tanjung Minyak berkata, banjir kali ini merupakan yang paling buruk pernah dialaminya.
“Saya sedang berbual di rumah apabila nampak air datang. Dalam tempoh kira-kira setengah jam sahaja, air sudah masuk ke dalam rumah.
“Saya terus keluar meninggalkan rumah. Nasib baik sempat selamatkan sedikit barang,” katanya.
Bapa kepada sembilan anak itu berharap kerajaan dapat membantu semua mangsa banjir tanpa mengira kawasan dan paling penting memastikan rumah kediaman serta penduduk tidak lagi dilanda musibah itu.
“Saya harap kerajaan bantu semua yang terjejas, bukan saya seorang sahaja. Sama ada di Bukit Rambai, Tanjung Minyak atau mana-mana, kami semua perlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN
