Pembangunan mampan kurangkan kerosakan banjir
- Admin UKK
- Berita
Membaca dan melihat laporan bencana banjir melanda beberapa negeri ketika ini, jelas sekali ia menuntut satu tindakan segera bagi menambah baik sistem pengurusan banjir pada masa akan datang.
Negara perlu lebih bersedia untuk menghadapi cabaran banjir dengan berkesan, terutama pelan pembangunan mampan dan hijau kerana isu banjir adalah kebimbangan mendesak dan memerlukan perhatian serta tindakan segera.
Kerajaan perlu mengambil pendekatan proaktif menangani punca banjir, meningkatkan pelaburan infrastruktur mengatasi bencana itu dan penguatkuasaan terhadap pihak mengganggu kelestarian alam.
Bahkan dalam isu ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam soal pengurusan bencana negara.
Berdasarkan kes senario banjir melanda negara sejak akhir tahun lalu dan awal tahun ini, wujud keperluan bagi kerajaan dan agensi berkaitan untuk meningkatkan lagi keupayaan mereka mendepani bencana banjir ini.
Selain itu, kerajaan dan agensinya perlu menilai pascabencana khususnya aspek apa perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko berulangnya banjir.
Antara langkah itu adalah pemulihan fizikal dan infrastruktur. Kerajaan perlu segera membabitkan agensi berkaitan untuk membersihkan kawasan terjejas, membaiki jalan raya dan memastikan bekalan elektrik serta air bersih pulih sepenuhnya.
Kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada pelaburan dalam pemodenan dan pembangunan sistem saliran di kawasan bandar atau lokasi sering terjejas banjir.
Usaha harus diambil untuk meningkatkan perancangan penggunaan tanah, khususnya memberi penekanan kepada pembangunan mampan dan hijau, bertujuan mengurangkan kesan banjir di kawasan luar bandar.
Kerajaan juga perlu memanfaatkan peluang pasca banjir untuk mengembangkan pelan pembangunan mampan dan hijau. Ini termasuk pengurusan air lebih baik dan perancangan pembinaan infrastruktur tahan bencana.
Mangsa banjir dan perniagaan kecil terjejas sudah tentu memerlukan sokongan kewangan. Justeru, kerajaan perlu mengenal pasti dan memberikan bantuan kewangan secara adil kepada mereka yang terjejas.
Ini termasuk pemilik rumah mengalami kerugian harta benda serta peniaga kecil yang terjejas pendapatan mereka akibat bencana alam ini. Skema bantuan perlu dilaksanakan secara telus dan cekap.
Dalam pada itu, pelan pemulihan ekonomi perlu disusun dengan teliti untuk memastikan kestabilan jangka panjang termasuk pemulihan sektor pertanian, perdagangan dan perindustrian yang terjejas. Program pembangunan semula dan insentif kepada perniagaan boleh membantu meningkatkan daya tahan ekonomi negara.
Banjir memberi impak kepada sumber manusia dan pendidikan. Kehilangan pekerjaan, terutama dalam sektor perladangan dan industri, mungkin menyebabkan tekanan ekonomi kepada individu.
Peluang pendidikan dan latihan perlu diperluaskan untuk membantu pekerja yang terkesan. Ini termasuk menawarkan program latihan semula dan penyediaan peluang pendidikan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Paling utama, langkah persediaan awal untuk menghadapi bencana perlu ditingkatkan. Ini termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi ramalan banjir, sistem perparitan lebih baik dan pelan pemindahan lebih efektif.
Masyarakat juga perlu ditingkatkan kesedaran mereka terhadap bahaya banjir dan cara untuk menguruskan risiko bagi mengurangkan impak bencana ini di masa depan. Pelaburan dalam teknologi amaran banjir dan infrastruktur untuk menyediakan maklumat kepada komuniti juga perlu ditingkatkan.
Malaysia juga sepatutnya meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam aspek pengurusan banjir terutama dengan negara sering dilanda bencana alam seperti melakukan pertukaran maklumat, kepakaran dan teknologi bagi melancarkan lagi pelan pengurusan bencana pada masa depan.