Fenomena Super El Nino serentak MTL tingkat risiko jerebu
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Fenomena Super El Nino yang berlaku serentak dengan Monsun Timur Laut (MTL) berpotensi memanjangkan risiko jerebu di negara ini sehingga Mei tahun depan, berbanding unjuran sebelum ini yang menjangkakan keadaan itu berlarutan sehingga Mac.
Keadaan itu susulan jangkaan cuaca panas dan kering berpanjangan yang bukan sahaja mempengaruhi fasa akhir MTL, malah berpotensi berterusan ketika negara memasuki fasa peralihan monsun dan Monsun Barat Daya (MBD).
Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ramlan Ab Rahman, berkata data terkini menunjukkan keadaan kering berkemungkinan berlanjutan sehingga Mei 2027, sekali gus meningkatkan risiko jerebu tempatan dan rentas sempadan.
Beliau berkata, tempoh cuaca kering yang panjang itu membimbangkan kerana boleh menyebabkan kawasan mudah terbakar, khususnya tanah gambut, kehilangan kelembapan dan meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
"Kalau ikutkan data yang ada pada kita, jerebu boleh berlaku sehingga Mei. Sebelum ini kita menjangkakan sehingga Mac, tetapi apabila data dikemas kini, ia menunjukkan keadaan itu boleh berlanjutan hingga Mei," katanya ketika menjadi tetamu dalam segmen Podcast BH Borak Harini.
Ramlan berkata, risiko jerebu bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor pencetus kebakaran, termasuk aktiviti pembakaran terbuka serta kebakaran di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar apabila mengalami kekeringan berpanjangan.
Katanya, keadaan lebih membimbangkan sekiranya cuaca kering berterusan sejak Februari hingga Mei tanpa menerima hujan mencukupi kerana ia boleh meningkatkan risiko jerebu tempatan dan rentas sempadan.
Ramlan berkata, Super El Nino yang mula memasuki kategori berkenaan pada November ini dijangka memberi kesan ketara terhadap corak taburan hujan negara, khususnya ketika MTL yang lazimnya membawa hujan lebat ke beberapa kawasan.
Beliau berkata, MTL mempunyai dua fasa, iaitu fasa lembap sehingga awal Januari tahun depan, diikuti fasa kering yang berpotensi menjadi lebih ekstrem berikutan pengaruh Super El Nino.
"Apabila berlaku Super El Nino, cuaca kering boleh menjadi lebih ekstrem kerana kemasukan lembapan ke rantau kita berkurangan, sekali gus menyebabkan taburan hujan menurun," katanya.
Tingkat risiko kemarau
Beliau berkata, berdasarkan rekod dua episod Super El Nino terdahulu iaitu pada 1997-1998 dan 2015-2016, taburan hujan di Semenanjung Malaysia pernah berkurangan sehingga 30 peratus, manakala Sabah mencatatkan pengurangan sehingga 45 peratus.
Katanya, keadaan itu turut berpotensi menyebabkan gelombang haba, khususnya di utara Semenanjung membabitkan Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang, selain berkemungkinan memberi kesan kepada negeri lain.
Beliau berkata, fenomena Super El Nino boleh meningkatkan risiko kemarau apabila kekurangan hujan berlaku dalam tempoh panjang, sekali gus memberi tekanan kepada sumber bekalan air domestik, industri dan sektor pertanian.
Ramlan berkata, keadaan itu turut memberi kesan kepada paras takungan empangan, terutama di negeri Pantai Timur yang bergantung kepada hujan MTL sebagai antara sumber utama bekalan air.
Katanya, pengaruh El Nino berpotensi mengurangkan episod hujan lebat sepanjang MTL kali ini kepada antara tiga hingga lima episod, berbanding kebiasaan yang boleh mencapai sehingga lapan episod.
Walaupun jumlah episod hujan lebat dijangka berkurangan, beliau berkata, penduduk di kawasan berisiko banjir khususnya Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah, perlu terus berwaspada kerana hujan lebat masih boleh berlaku.
Beliau berkata, METMalaysia sudah menyelaras persediaan bersama agensi pengurusan bencana pada peringkat pusat, negeri dan daerah bagi memastikan maklumat ramalan serta amaran cuaca dapat disampaikan kepada agensi teknikal dan pasukan penyelamat.
