PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

19 Tahun Berdepan Banjir, Tugas Menyelamat Tidak Pernah Mudah - Pegawai APM

19 Tahun Berdepan Banjir, Tugas Menyelamat Tidak Pernah Mudah - Pegawai APM

TELUK INTAN, 13 Nov (Bernama) -- Pengalaman lebih 19 tahun dalam operasi menyelamat mangsa banjir tidak menjadikan tugas itu semakin mudah, sebaliknya menuntut kesiapsiagaan tinggi setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) melanda daerah Hilir Perak.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak Kapten (PA) Mohd Affindi Ishak berkata pasukannya melaksanakan operasi menyelamat secara bergilir sepanjang 24 jam bagi memastikan penduduk terjejas banjir dapat dipindahkan dengan selamat ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran. “Saya dah lali menghadap bencana ini saban tahun, namun ia bukanlah satu perkara yang diambil mudah kerana risikonya boleh membahayakan dan boleh meragut nyawa jika kita tersilap langkah.

“Untuk penugasan 24 jam pula, kita laksanakan secara dua syif (8 pagi hingga 8 malam) bagi mengurangkan sedikit bebanan petugas khususnya yang bertugas untuk memindahkan mangsa terjejas akibat banjir,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini, semalam.

Berkongsi pengalaman sepanjang bertugas, Mohd Affindi berkata pasukannya juga sering berdepan situasi tidak dijangka apabila tinjauan rutin di kawasan banjir bertukar menjadi operasi menyelamat pada saat akhir.

“Perkara ini berlaku pada tahun lepas, ketika kami sedang melakukan tinjauan paras air di Sungai Sungkai sekitar 10 malam, tiba-tiba air naik melimpah dan membanjiri kediaman penduduk di Kampung Batu 9 yang terletak berhampiran.

“Alhamdulillah, pada waktu itu kami ada membawa kenderaan pacuan empat roda, jadi dua warga emas yang terkandas di dalam rumah sempat diselamatkan dan bawa ke PPS berhampiran,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Mohd Affindi berkata selain operasi penyelamatan, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut melaksanakan pemantauan paras air secara menyeluruh bagi mengesan sebarang trend peningkatan atau penurunan di kawasan berisiko tinggi, sekali gus membolehkan tindakan susulan digerakkan dengan lebih pantas.

“Anggota kita turut menjalankan pemantauan paras air di kawasan sungai serta lokasi berisiko tinggi menggunakan alat pengukur khusus bagi mengesan trend peningkatan atau penurunan air secara berkala untuk tindakan susulan,” katanya

Beliau berkata peranan APM tidak terhenti setakat di lapangan sahaja, malah turut tertumpu di PPS bagi memastikan kebajikan, keselamatan serta kelancaran urusan pendaftaran mangsa sentiasa berada dalam keadaan lancar.

“Di PPS pula, fokus kita adalah memastikan penempatan mangsa teratur dan selesa, di samping membantu menyelaraskan keperluan mereka serta merujuk segera mangsa yang mempunyai masalah kesihatan ke hospital atau klinik berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mengenai kekuatan aset sokongan APM dalam menghadapi bencana banjir di daerah Hilir Perak, Mohd Affindi berkata sebanyak tiga bot aluminium, dua bot fiber, sebuah bot amfibia serta empat kenderaan pacuan empat roda digerakkan bagi memantau lokasi yang berisiko dinaiki air.

Beliau berkata kekuatan logistik juga diperkasakan dengan penglibatan aset serta keanggotaan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar dan berkesan.

“Selain itu, APM juga mempunyai kekuatan sebanyak 50 anggota APM yang akan melaksanakan tugas penyelamatan di seluruh pelosok kawasan berisiko dinaiki air,” katanya

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search