KKR siap siaga hadapi Monsun Timur Laut
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR, 11 Nov: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi pemantauan berterusan, penempatan petugas serta penyediaan jambatan pasang siap bagi memastikan laluan terputus akibat banjir dapat dipulihkan segera.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian turut memanfaatkan peruntukan penyelenggaraan tahunan sedia ada bagi menangani kerosakan infrastruktur di kawasan yang terjejas akibat banjir.
“Daripada peruntukan penyelenggaraan sedia ada yang diluluskan, iaitu kira-kira RM300 juta, kita menganggarkan sebahagian daripadanya akan digunakan khusus untuk kawasan yang terjejas akibat banjir, termasuk kerja penyelenggaraan jalan raya, jambatan, parit dan longkang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan BAMBuild ’26: The Future of Sustainable Bamboo Construction di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Nanta menjelaskan, keperluan menangani kesan MTL telah diambil kira dalam permohonan peruntukan penyelenggaraan tahunan kementerian dan bukannya melalui peruntukan khusus bagi menghadapi monsun.
Menurutnya, perubahan iklim menyebabkan kesan MTL sejak kebelakangan ini semakin serius, sekali gus menjejaskan kediaman penduduk serta aset negara, termasuk jalan raya.
Sehubungan itu, katanya bilik gerakan bencana JKR mendapatkan maklumat mengenai kejadian banjir dan kawasan terjejas di seluruh negara hampir dalam masa nyata.
Dalam pada itu, beliau berkata JKR turut menyediakan komponen jambatan Bailey dengan jumlah panjang keseluruhan melebihi 2,680 kaki bagi membantu memulihkan laluan yang terputus, khususnya apabila jambatan kecil runtuh.
“Panjangnya bergantung pada keperluan di lokasi terjejas. Kita akan gunakan sebanyak mana yang diperlukan,” katanya.
Ujarnya, komponen jambatan pasang siap itu disimpan di beberapa lokasi di seluruh negara bagi membolehkan pemasangan dilakukan dengan segera menerusi penyelarasan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan.-TVS
