PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir di Selangor: Puncak Alam dan Saujana Utama antara terkesan

Banjir di Selangor: Puncak Alam dan Saujana Utama antara terkesan

KUALA LUMPUR: Kawasan sekitar Puncak Alam di Selangor dilanda banjir kilat petang ini susulan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan beberapa laluan dinaiki air.

Antara kawasan dilaporkan terjejas termasuk sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dan Saujana Utama, Sungai Buloh.

Kejadian sama turut dilaporkan berlaku di Jalan Meru menghala Puncak Alam, berhampiran simpang Kampung Bukit Cerakah.

Beberapa rakaman video diterima menunjukkan jalan raya dan kawasan parkir berhampiran bangunan UiTM Puncak Alam digenangi air keruh, dengan beberapa kenderaan berada di kawasan berkenaan.

Foto dikongsikan turut menunjukkan beberapa kenderaan meredah laluan dinaiki air di kawasan terjejas.

Hujan lebat dilaporkan masih berterusan di sekitar Puncak Alam sehingga jam 5 petang tadi.

Menurut ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Selangor pada sebelah petang dan malam.

MetMalaysia turut meramalkan ribut petir di daerah Kuala Selangor bagi kedua-dua tempoh berkenaan.

Setakat ini, jumlah penduduk yang terjejas, keadaan laluan serta sebarang kejadian kecemasan akibat banjir kilat itu masih belum disahkan pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, mengesahkan menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Tadika UiTM Kampus Puncak Alam, sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya tiba jam 5.26 petang, namun mendapati air sudah surut sepenuhnya.

Beliau berkata pihaknya juga menerima maklumat mengenai banjir di Kampung Johan Setia jam 4.30 petang sebelum anggota BBP Sri Andalas tiba di lokasi 15 minit kemudian.

Pemeriksaan mendapati air sungai setinggi kira-kira 0.3 meter memasuki beberapa rumah penduduk di kawasan berkenaan, sebelum pihaknya menjalankan pemantauan, namun tiada pemindahan dilakukan.

Ashrul Riezal turut mengesahkan kejadian banjir di Taman Seri Alam, Saujana Utama di Sungai Buloh akibat hujan lebat dan limpahan air dari kawasan takungan berhampiran.

"Air di kawasan perumahan itu dianggarkan sedalam satu kaki (0.3 meter) dan tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat laporan diterima.

"Lima anggota bersama sebuah jentera dari BBP Bestari Jaya menjalankan pemantauan di lokasi kejadian," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search