PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir di Sungai Buloh, laluan Kubu Gajah-Paya Jaras terjejas

Banjir di Sungai Buloh, laluan Kubu Gajah-Paya Jaras terjejas

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Selangor, dilaporkan dilanda banjir awal pagi ini dengan kediaman penduduk dinaiki air.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Kubu Gajah 24 dan Kampung Melayu Subang, berdasarkan perkongsian gambar serta video penduduk di media sosial Threads.

Rakaman yang tular menunjukkan air keruh memenuhi ruang sebuah kediaman di Kampung Paya Jaras Hilir, dengan beberapa penghuni dilihat mengharungi air di dalam rumah.

Seorang penduduk turut memaklumkan ibunya berjaya dibawa keluar dari rumah dengan selamat, manakala paras air mula surut ketika hantaran itu dikongsikan.

Di Kampung Kubu Gajah pula, rakaman memperlihatkan kawasan kediaman dinaiki air sehingga seorang lelaki dilihat meredah banjir pada paras pinggang.

Seorang penduduk mendakwa kejadian itu adalah banjir pertama melanda kawasan berkenaan tahun ini, selepas beberapa kali berdepan banjir teruk pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Kampung Melayu Subang yang baru dilanda banjir pada Isnin lalu turut dilaporkan kembali dinaiki air awal pagi tadi.

Beberapa rakaman di media sosial menunjukkan kawasan kediaman digenangi air, dan dalam satu hantaran seorang warga emas terkandas dalam kediamannya akibat kejadian berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian laluan penghubung Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras turut dilaporkan mengalami kerosakan serius apabila permukaan jalan merekah dan terputus.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search