Penyebaran maklumat palsu bencana boleh cetus panik
- Admin UKK
- Berita
PUCHONG, 30 Oktober –Tindakan segelintir pempengaruh menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan bencana demi meraih perhatian boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Pengamal media dan orang ramai digesa membendung penyebaran maklumat palsu serta memastikan laporan bencana berasaskan sumber yang sahih dan boleh dipercayai.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, penyampaian maklumat yang tepat dan bertanggungjawab amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan masyarakat tidak bertindak berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
“Semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara. Saya berharap media dapat membantu kita dengan tidak mengeluarkan berita yang boleh mencetuskan sensasi.
“Saya ada pengalaman apabila berdepan individu seperti ini. Mereka mengeluarkan video yang boleh menyebabkan orang ramai panik, tetapi apabila kita mengambil tindakan dan membuat pemeriksaan, rupa-rupanya tujuan mereka hanya untuk mendapatkan pengikut dan menghasilkan kandungan.
“Bayangkan mereka buat kandungan semata-mata untuk mendapatkan pengikut. Janganlah kita melakukan perkara seperti ini,” katanya kepada media ketika sesi libat urus bersama media mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, di sini.
