Gempa 6.1 magnitud rosakkan 20 rumah di Sumba Barat Daya
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 4 Okt: Sebanyak 20 rumah di Sumba Barat Daya, Nusa Tenggara Timur rosak akibat gempa bumi bermagnitud 6.1 yang melanda kawasan itu pagi tadi.
Gempa berlaku pada 6.55 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa dikesan di laut, kira-kira 14 kilometer barat daya Kodi, Sumba Barat Daya pada kedalaman 10 kilometer.
Berdasarkan pemeriksaan awal Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), daripada 20 rumah yang terjejas, 19 mengalami kerosakan kecil manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sederhana.
Jurucakap BNPB, Berton SP Panjaitan berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan masih menjalankan penilaian bagi mengenal pasti keseluruhan kesan dan kerosakan akibat gegaran berkenaan.
“Pendataan dan penilaian terhadap kemungkinan kerosakan rumah, kemudahan awam, kemudahan kerajaan serta infrastruktur lain masih terus dilakukan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kesan gempa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, gempa turut menyebabkan seorang individu cedera selepas ditimpa runtuhan bangunan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Kerosakan turut dilaporkan membabitkan tiga rumah ibadat, sebuah kemudahan pendidikan dan sebuah kemudahan awam di Kabupaten Sumba Barat Daya.
Menurut Berton, pihaknya kini memantau keadaan selepas gempa serta menyelaras usaha pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan.
Masyarakat dinasihatkan supaya kekal tenang dan berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan, selain mengelakkan bangunan yang mengalami kerosakan sehingga disahkan selamat oleh pihak berkuasa.-TVS
