PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Nepal larang penduduk kembali ke kawasan banjir, 33,000 dijangka dipindahkan

Nepal larang penduduk kembali ke kawasan banjir, 33,000 dijangka dipindahkan

KATHMANDU: Kira-kira 33,000 mangsa banjir di Nepal dijangka perlu ditempatkan semula dan tidak dibenarkan kembali ke kediaman asal mereka apabila kawasan terjejas diisytiharkan sebagai zon bahaya, lapor Kyodo News.

Ketua Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, Dharam Raj Uprety, berkata kawasan yang mempunyai tanda paras banjir - sesetengah lokasi mencecah 13 meter lebih tinggi daripada paras sungai biasa - akan dikategorikan sebagai zon bahaya.

"Kami tahu ada kemungkinan akan berlaku bencana pada masa depan. Oleh itu, kami tidak mahu mengambil risiko lebih besar," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Kyodo News, awal minggu ini.

Beliau berkata, kira-kira 33,000 penduduk terjejas akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Menurut Kerajaan Nepal, banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lalu yang dicetuskan oleh runtuhan ais serta batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet telah mengorbankan 1,451 mangsa.

Kira-kira 5,700 orang, termasuk lebih 600 warga asing, dilaporkan masih hilang di Nepal.

Uprety bagaimanapun mengaku ikatan sentimental penduduk terhadap tempat kelahiran dan kawasan yang didiami sepanjang hayat, menjadi cabaran untuk meyakinkan mereka supaya berpindah.

Namun, beliau berkata, pasukan pihak berkuasa itu, Jabatan Ukur dan kementerian berkaitan telah meninjau serta mengenal pasti kawasan lebih selamat berhampiran zon bahaya.

Langkah itu bertujuan membolehkan mangsa berpindah ke penempatan selamat dan meneruskan kehidupan dengan bermaruah.

Operasi mencari di beberapa terowong daripada 12 projek hidroelektrik yang terjejas akibat aliran puing runtuhan itu kini memasuki peringkat akhir.

Pihak berkuasa bercadang menamatkan operasi berkenaan pada hujung minggu ini sebelum beralih kepada usaha pemulihan pascabencana.

"Peluang untuk menjumpai mangsa masih hidup adalah amat tipis, malah hampir tiada," kata Uprety.

Kerajaan turut memutuskan untuk menyalurkan bantuan segera kira-kira AS$2,600 atau 400,000 rupee Nepal kepada setiap keluarga terbabit sebagai geran perumahan.

Selain itu, setiap keluarga hingga empat ahli akan menerima elaun bulanan AS$98 atau 15,000 rupee Nepal bagi menampung kos sara hidup dan sewa.

Bagi setiap ahli tambahan melebihi empat orang pula, bantuan tambahan sebanyak 2,000 rupee Nepal akan diberikan.

Pada awal bulan ini, kerajaan menganggarkan sebanyak AS$4.77 bilion diperlukan bagi usaha pemulihan awal, namun Uprety menyatakan jumlah sebenar dijangka meningkat.

Beliau berkata, anggaran awal itu tidak merangkumi kos pampasan perlu ditanggung kerajaan bagi tanah milik persendirian yang kini ditetapkan sebagai zon bahaya dan akan diambil alih kerajaan.

"Keperluan pemulihan akhir boleh dengan mudah mencecah dua kali ganda daripada anggaran awal," katanya.

Nepal yang berdepan kekangan kewangan, berharap sebahagian kos pemulihan itu dapat ditampung melalui bantuan rakan pembangunan termasuk Jepun, China, India, Britain, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search