PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

JAS beri perhatian khusus kebakaran tanah gambut, tapak pelupusan sampah di Sarawak, Johor

JAS beri perhatian khusus kebakaran tanah gambut, tapak pelupusan sampah di Sarawak, Johor

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di beberapa kawasan di Sarawak dan Johor, khususnya yang membabitkan kawasan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata ia berikutan risiko kebakaran lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.

Menurutnya, kebakaran di kawasan berkenaan berpotensi menghasilkan asap dan pelepasan bahan pencemar yang boleh menjejaskan kualiti udara setempat sekiranya tidak dikawal.

"Di Sarawak, kebakaran di tapak pelupusan sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar.

"Setakat hari ini, kira-kira satu hektar (67 peratus) berjaya dipadamkan, manakala baki 0.5 hektar masih terbakar dan dalam tindakan pemadaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di Johor kebakaran tanah gambut di sekitar Tanah Perkuburan Cina Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove–Punggai, Kota Tinggi membabitkan kawasan seluas 17 hektar.

Jelasnya, setakat hari ini, sebanyak 14.8 hektar (87 peratus) sudah berjaya dipadamkan, manakala baki 2.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

"Selain itu, kebakaran tanah gambut di Kampung Sungai Buntu, Pengerang, Kota Tinggi membabitkan kawasan seluas 10.12 hektar dan sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya.

"JAS Sarawak dan JAS Johor akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran, termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai status kebakaran dan keluasan kawasan yang terjejas," katanya.

Azuri Azizah berkata, pemantauan kualiti udara turut dilaksanakan bagi menilai potensi kesan kebakaran terhadap kualiti udara setempat.

"Sementara tindakan susulan akan diambil berdasarkan keadaan di lapangan dan hasil penilaian bersama agensi berkaitan.

"Dalam konteks kawalan pencemaran udara, JAS akan terus memberi perhatian terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan kejadian kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara," katanya.

Katanya lagi, JAS menyeru orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering serta kualiti udara berada pada tahap yang tidak sihat hingga berbahaya.

"Orang ramai juga diminta tidak membenarkan tanah atau premis milik mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka.

"Selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1,000,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya. Kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search