PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Tanah runtuh, banjir kilat jejas beberapa lokasi di Cameron Highlands

Tanah runtuh, banjir kilat jejas beberapa lokasi di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Kejadian tanah runtuh dilapor berlaku di Seksyen 1.4 Jalan Sultan Hj Ahmad Shah, dekat Tanah Rata, di sini, petang tadi menyebabkan laluan berkenaan terpaksa ditutup sementara kepada semua pengguna jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, penutupan laluan dilakukan untuk keselamatan orang awam serta melancarkan kerja pembersihan mendapan tanah yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama YP Maintenance.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata pihak berkuasa sedang memantau secara berterusan proses pembersihan di lokasi berkenaan sehingga laluan itu dipastikan benar-benar selamat untuk dibuka semula.

"Situasi terkini di lokasi terkawal dan pemantauan berkala dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan berkenaan buat sementara waktu," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, kejadian banjir kilat turut dilaporkan berlaku jam 4.53 petang di Taman Perumahan Golden Hill, Brinchang.

Kejadian menjejaskan tiga rumah dan tujuh kenderaan akibat limpahan air banjir kilat.

Azri bagaimanapun mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.

"Anggota polis dikejarkan ke lokasi bagi tindakan dan pemantauan lanjut.

"Setibanya di lokasi, keadaan didapati terkawal dan air banjir dilaporkan mula surut. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dimaklumkan bagi kawalan keselamatan," katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk yang menetap di kawasan berisiko tinggi, supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Orang awam juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search