Kebakaran hutan Kampung Kut cecah 10 hektar, operasi pemadaman disambung esok
- Admin UKK
- Berita
DARO, 11 Ogos: Kebakaran hutan di Kampung Kut di sini, yang memasuki hari kedua hari ini telah menjejaskan kawasan dianggarkan seluas 10 hektar.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Daro meneruskan operasi pemadaman bermula jam 10.30 pagi dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera CFRT.
“Pasukan bomba menggunakan pam angkut dengan satu aliran sepanjang 400 kaki bagi mendapatkan sumber air dari parit untuk mengawal serta memadam kebakaran.Daripada keseluruhan kawasan yang terjejas, pasukan bomba berjaya memadam kebakaran seluas kira-kira tiga hektar, manakala baki tujuh hektar masih terjejas.
“Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada jam 4.44 petang selepas sumber air dari parit didapati kering. Pasukan bomba kemudian kembali ke balai sebelum operasi dijadualkan disambung semula esok,” kata kenyataan itu.
Antara cabaran dihadapi sepanjang operasi ialah liputan GIRN yang kurang memuaskan, namun masih membolehkan komunikasi operasi dijalankan, selain tiupan angin kencang yang menyebabkan api mudah merebak.
Turut menyukarkan operasi iaah kekurangan sumber air serta akses jalan yang sempit ke lokasi kebakaran.
Kebakaran hutan itu dilaporkan berlaku pada jam 1.40 tengah hari semalam sebelum jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1.51 tengah hari.
Operasi akan diteruskan esok bagi memastikan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.-TVS
