PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gempa 7.4 skala Richter di Colombia: Semua rakyat Malaysia berdaftar selamat - Wisma Putra

Gempa 7.4 skala Richter di Colombia: Semua rakyat Malaysia berdaftar selamat - Wisma Putra

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Colombia berada dalam keadaan selamat dan dikenal pasti keberadaan mereka susulan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda barat negara itu pada Isnin.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Selasa, Kementerian Luar atau Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan secara serentak ke Colombia, terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan dan memantau perkembangan keadaan.

Menurut kenyataan itu, gempa bumi berkenaan berlaku kira-kira 7.34 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak berhampiran bandar San Jose del Palmar di Jabatan Choco.

Gegaran dirasai di sebahagian besar Colombia, khususnya di kawasan tengah termasuk Cali, Pereira, Manizales dan Armenia, serta ibu negara Bogota, mengakibatkan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur.

"Kementerian merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Republik Colombia, khususnya mereka yang terjejas akibat bencana alam yang dahsyat ini," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata pihak berkuasa Colombia masih menjalankan penilaian keadaan, manakala jumlah korban dan tahap sebenar kerosakan masih belum dapat dipastikan.

Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Colombia, khususnya di kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada, berhati-hati serta mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa Colombia serta perkhidmatan kecemasan tempatan.

Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan kehadiran mereka di negara itu juga digesa segera berbuat demikian menerusi sistem e-Konsular.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang mungkin terjejas boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Lima melalui telefon atau WhatsApp di talian (511) 422 0297, (511) 441 1939 atau (511) 441 0795, atau melalui e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Wisma Putra berkata kementerian akan terus memantau situasi itu secara rapi dan akan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search