PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gunung Bromo ditutup sepenuhnya kepada pelancong susulan kebakaran hutan makin merebak

Gunung Bromo ditutup sepenuhnya kepada pelancong susulan kebakaran hutan makin merebak

JAKARTA: Indonesia menutup semua akses ke Gunung Bromo kepada pengunjung serta menghentikan aktiviti pelancongan sehingga diberitahu kelak susulan kebakaran hutan yang terus merebak di kawasan Kaldera Bromo, Jawa Timur.

Pengurusan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS) memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa pada 10 malam Sabtu bagi memudahkan operasi pemadaman serta memastikan keselamatan pengunjung.

Penutupan itu membabitkan pintu masuk di Cemorolawang, Kabupaten Probolinggo; Wonokitri, Kabupaten Pasuruan; Jemplang dan Coban Trisula, Kabupaten Malang; serta Senduro, Kabupaten Lumajang.

"Bagi pengunjung yang sudah membeli tiket masuk menerusi aplikasi tempahan dalam talian untuk lawatan sepanjang tempoh penutupan, mereka akan diberi pilihan untuk menjadualkan semula lawatan atau mendapatkan bayaran balik," menurut pihak pengurusan dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, kebakaran hutan sejak Isnin lalu, memusnahkan kawasan dianggarkan seluas 176.20 hektar di Kabupaten Probolinggo dan Malang.

"Satu titik panas masih mengeluarkan asap setakat malam Sabtu, manakala pasukan terus memantau keadaan ketika angin bertiup sederhana," katanya dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

Beliau berkata, dua helikopter yang masing-masing mampu membawa 1,000 liter air dikerahkan bagi membantu operasi pemadaman.

Selain itu, Abdul Muhari berkata, kebakaran hutan dan tanah membabitkan kawasan dianggarkan seluas 30 hektar di Resort Sembalun, Taman Nasional Gunung Rinjani di Kabupaten Lombok Timur berjaya dikawal kira-kira jam 1.30 pagi semalam selepas tercetus sekitar 8 malam kelmarin.

Punca kebakaran di Bromo dan Rinjani masih dalam siasatan.

– BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search