PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jerebu rentas sempadan dijangka jejas 19 kawasan di Sarawak

Jerebu rentas sempadan dijangka jejas 19 kawasan di Sarawak

KUCHING, 8 Ogos: Sebanyak 19 kawasan di Sarawak dijangka terjejas akibat jerebu rentas sempadan dalam tempoh beberapa hari akan datang susulan pergerakan angin yang membawa asap dari negara jiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya kini memantau rapat perkembangan situasi jerebu susulan laporan pergerakan asap jerebu terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.

“Berdasarkan penilaian terkini, jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang, bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Antara kawasan dikenal pasti ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.

Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata keadaan kualiti udara dijangka merosot di beberapa kawasan dengan kepekatan partikel terampai, PM2.5 pada tahap tidak sihat diramalkan berlaku di Miri dan Serian hari ini, diikuti Betong pada 9 Ogos.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini serta mengikuti nasihat rasmi pihak berkuasa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti di luar, khususnya aktiviti fizikal lasak apabila kualiti udara merosot di samping memastikan pintu dan tingkap ditutup ketika tahap jerebu tinggi.

“Golongan kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan jgua dinasihatkan untuk memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar dan memastikan pengambilan air sentiasa mencukupi,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.

Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang awam yang melihat sebarang aktiviti pembakaran terbuka diminta melaporkannya kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menerusi talian 082-447 488 atau 082-319 500.

“JPBN menegaskan bahawa pihaknya bersama MetMalaysia, NREB, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan menyelaras tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kesihatan awam terus terpelihara.

“Orang ramai juga dinasihatkan kekal tenang, mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat terkini hanya menerusi saluran rasmi,” ujarnya. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search