PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

SABERKAS salur lebih RM1 juta setahun dana dalaman, gerakkan aktiviti akar umbi

SABERKAS salur lebih RM1 juta setahun dana dalaman, gerakkan aktiviti akar umbi

SIBU, 9 Ogos: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu (SABERKAS) Sarawak menyalurkan lebih RM1 juta setiap tahun daripada dana dalamannya kepada cawangan di seluruh negeri bagi menggerakkan pelbagai aktiviti di peringkat akar umbi.

Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap cawangan menerima lebih RM20,000 untuk melaksanakan program termasuk aktiviti sukan, kursus dan program kemasyarakatan.

“Ini adalah kewangan daripada dalaman. Kita bukannya datang daripada sumber yang diberi oleh kerajaan. Inilah yang memberi kita satu kebanggaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS Sarawak Ke-18 di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, sokongan kewangan berkenaan membolehkan cawangan SABERKAS lebih aktif melaksanakan program dan seterusnya memberi manfaat kepada golongan belia serta masyarakat setempat.

Katanya, sejak November 2023 hingga Jun 2026, sebanyak 929 aktiviti telah dilaksanakan oleh SABERKAS di seluruh Sarawak.

“Ini adalah satu jumlah yang boleh kita banggakan. Dalam satu tahun kita ada 365 hari, jadi lebih daripada 300 program diadakan setiap tahun,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, penubuhan SABERKAS Prihatin ketika pandemik COVID-19 turut memperluas peranan pertubuhan itu dalam membantu masyarakat yang berdepan musibah.

Jelas beliau, unit berkenaan kini terus aktif turun padang ketika berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran.

“Apabila ada banjir, di situ ada SABERKAS Prihatin. Apabila ada tanah runtuh seperti yang berlaku di Miri, antara yang pertama memberi bantuan adalah SABERKAS Prihatin,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata penglibatan SABERKAS dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan turut menjadi wadah untuk menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan anggota di seluruh Sarawak.

Semangat membantu masyarakat katanya, akan terus diperkasa menerusi penglibatan cawangan dan ranting SABERKAS di seluruh negeri. -TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search