PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Sarawak sedia pertimbang operasi pembenihan awan

Sarawak sedia pertimbang operasi pembenihan awan

KUCHING, 9 Ogos: Kerajaan Sarawak memantau rapi keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri itu susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), termasuk kesan jerebu rentas sempadan dari negara jiran.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata keadaan cuaca dan tiupan angin ketika ini turut menyumbang kepada pergerakan jerebu ke Sarawak.

“Kalau kita lihat, bulan Julai kita agak bernasib baik kerana masih menerima hujan, tetapi pada bulan Ogos ini keadaan hujan agak berkurangan.

“Jerebu merentasi sempadan dari negara jiran dan kita tidak dapat menafikan terdapat juga pembakaran terbuka yang berlaku di dalam Sarawak, namun perkara itu masih dalam kawalan kita,” katanya ketika ditemui media semasa meninjau hari ketiga penganjuran Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei di sini pada Ahad.

Beliau berkata pergerakan angin dari arah timur ke selatan sebelum berpusing ke arah utara Sarawak turut menyebabkan negeri itu terjejas akibat jerebu rentas sempadan.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak belum menetapkan sebarang jadual pelaksanaan operasi pembenihan awan, namun perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya keadaan cuaca dan jerebu terus memburuk.

“Setakat ini belum ada jadual untuk pembenihan awan. Insya-Allah, kita akan terus memantau keadaan supaya situasi ini tidak menjadi lebih buruk,” katanya.

Len Talif berkata pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu menjadi semakin serius.

“Kalau kita lihat bacaan tadi sudah mencapai 100. Dalam masa yang sama, kita juga menguar-uarkan kepada warga Sarawak supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka.

“Jika masih berbuat demikian, kita akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka, sama ada individu ataupun syarikat,” katanya. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search