Tapak sampah haram ancam keselamatan dan kesihatan 120 penduduk
- Admin UKK
- Berita
Gombak: Penduduk Taman Villa Bestari di Kampung Sungai Pusu, di sini, mendakwa terpaksa hidup dengan pencemaran bau, serangan lalat dan kebimbangan terhadap aspek keselamatan apabila sebuah tapak yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan sampah haram beroperasi sejak lebih setahun lalu.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati tapak pembuangan sampah haram itu terletak kurang 50 meter dengan 31 rumah yang didiami kira-kira 120 penduduk.
Penduduk, Sofian Shafie, 71, berkata, persatuan penduduk terpaksa menanggung kos hampir RM10,000 sebulan bagi mengupah dua anggota RELA mengawal laluan masuk ke kawasan berkenaan selepas mendakwa tindakan penguatkuasaan sebelum ini tidak memberi penyelesaian secara berkekalan.
Dia berkata, penduduk melihat kawasan pembuangan sampah itu dijadikan lokasi pembuangan pelbagai jenis sisa termasuk sampah domestik dan sisa pembinaan sehingga menyebabkan bau busuk terutama ketika musim hujan, selain serangan lalat yang didakwa berlaku hampir setiap hari sebelum timbunan sampah ditimbus.
"Kegiatan itu dipercayai bermula sekitar pertengahan 2024 dan berdasarkan pemerhatian penduduk, dianggarkan antara 20 hingga 30 lori memasuki kawasan berkenaan setiap hari ketika kegiatan pembuangan sampah berada pada tahap paling aktif.
"Kami tidak mengira secara fizikal, tetapi berdasarkan apa yang kami nampak, rasa dan dengar daripada penduduk di sini memang banyak lori keluar masuk setiap hari.
"Ketika itu kami hanya mengambil gambar secara rambang kerana tidak menjangka perkara ini akan berlarutan," katanya di sini, hari ini.
Katanya, persatuan penduduk kini mengupah anggota RELA untuk merekodkan pergerakan lori selain menghalang lori yang disyaki membawa sampah daripada memasuki kawasan itu, di samping memasang kain rentang yang hanya membenarkan lori kutipan sampah domestik memasuki kawasan berkenaan.
"Sepanjang minggu ini tiada lori yang masuk selepas RELA ditempatkan dan kain rentang dipasang. Persoalannya sampai bila kami mampu mengupah RELA kerana kosnya bukan murah.
"Kalau pihak berkuasa tidak mengambil tindakan yang lebih kekal, penduduk akan terus menanggung kos yang tinggi selain berdepan pelbagai masalah lain.
"Kos mengupah dua anggota RELA dari jam 6 pagi hingga 6 petang ialah RM320 sehari atau hampir RM10,000 sebulan. Penduduk juga bimbang keadaan jalan yang rosak akibat kenderaan berat, selain risiko kemalangan kerana laluan masuk yang berbukit dan tidak rata," katanya.
Sofian berkata, jalan masuk ke kawasan perumahan mereka berbukit dan jika lori berat tergelincir atau berlaku apa-apa kejadian tidak diingini boleh membahayakan keselamatan penduduk.
"Apabila hujan pula, batu-batu dan sisa binaan yang dibawa lori boleh jatuh ke atas jalan dan menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
"Sebelum timbunan sampah ditimbus dengan bantuan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), penduduk terpaksa menghidu bau busuk terutama ketika musim hujan, manakala jumlah lalat meningkat dengan ketara ketika cuaca panas sehingga memasuki rumah penduduk setiap hari," katanya.
Dia berkata, sebelum penduduk dengan bantuan MPS menimbus sampah berkenaan, berlaku pencemaran bau terutama pada musim hujan.
"Apabila musim panas pula, lalat memang cukup banyak. Kami pernah menyerahkan gambar keadaan lalat di rumah kepada MPS dalam aduan sebelum ini.
"Selain sampah domestik, kawasan itu turut dijadikan lokasi pembuangan sisa pembinaan. Kami turut merekodkan nombor pendaftaran lori yang memasuki kawasan berkenaan sebelum menyerahkannya kepada MPS, namun tidak mempunyai kuasa menahan atau menyiasat pihak yang dipercayai terbabit," katanya.
Katanya, dua aduan rasmi dikemukakan kepada MPS tahun ini dan ada tindakan diambil, namun masalah itu didakwa berulang sebaik operasi penguatkuasaan selesai.
"Setakat ini tiada laporan polis dibuat, sebaliknya penduduk meletakkan nombor telefon polis di pintu masuk kawasan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sebarang ugutan," katanya.
Harian Metro sudah menghubungi MPS bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan kenyataan rasmi akan diberikan dalam masa terdekat.
