Gempa bumi Kumamoto: Angka korban meningkat, enam dikhuatiri masih hilang
- Admin UKK
- Berita
KUMAMOTO, JEPUN, 30 Julai: Angka korban akibat gempa bumi kuat yang mengegarkan wilayah Kumamoto, barat daya Jepun meningkat kepada 17 orang.
Menurut pihak berkuasa, enam yang lain dikhuatiri masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
Antara insiden paling tragis ialah letupan besar yang memusnahkan sebuah pusat beli-belah kira-kira 50 minit selepas gempa berlaku.
Pengendali pusat beli-belah mengesahkan tiga orang maut, seorang lagi dipercayai terkorban dan tiga masih hilang, manakala punca letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.
Di sebuah kilang Nippon Paper Industries di bandar Yatsushiro, lima pekerja disahkan maut selepas sebahagian cerobong runtuh, manakala empat lagi masih belum ditemui.
Lebih 9,000 penduduk dipindahkan ke 506 pusat perlindungan, sementara ratusan anggota polis, bomba dan tentera digerakkan bagi membantu operasi menyelamat.
Gempa tersebut turut menyebabkan lebih 31,000 premis terputus bekalan elektrik dan kira-kira 84,000 kediaman mengalami gangguan bekalan air.
Bencana turut menyaksikan kerosakan jalan raya, sebuah kereta api kargo tergelincir, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen digantung, manakala sebahagian tembok Kumamoto Castle runtuh.
Pihak berkuasa turut memaklumkan berlaku anjakan permukaan tanah sehingga 87 sentimeter akibat gempa itu, yang disusuli beberapa gegaran susulan.
Jepun merupakan antara negara paling aktif mengalami gempa bumi kerana terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik.
Wilayah Kumamoto sebelum ini turut dilanda gempa besar pada tahun 2016 yang mengorbankan 273 orang dan mencederakan lebih 2,800 mangsa.
Negara matahari terbit itu juga masih dibayangi tragedi gempa dan tsunami 2011 yang meragut hampir 18,500 nyawa serta mencetuskan krisis nuklear Fukushima. -TVS
