PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Malaysia dihimpit titik gempa bumi

Malaysia dihimpit titik gempa bumi

Kuala Lumpur: Hampir setiap hari, laporan mengenai bencana gempa bumi baharu muncul dari pelbagai pelosok dunia dan ia semakin kerap terjadi.

Ada yang sekadar gegaran sederhana tanpa kemusnahan namun tidak kurang juga yang mengorbankan ribuan nyawa serta memusnahkan bandar dalam tempoh hanya beberapa saat.

Terbaru, dua gempa bumi yang melanda Venezuela 24 Jun lalu mengorbankan 4,734 orang serta menyebabkan 16,740 mangsa cedera.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dunia turut menyaksikan beberapa siri gempa bumi kuat melanda negara di sepanjang Cincin Api Pasifik (Ring of Fire), antaranya Filipina, Indonesia, Jepun, Chile dan Tonga.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan adakah aktiviti seismik dunia kini semakin meningkat?

Sejauh mana ancaman itu boleh memberi kesan kepada negara ini yang turut berada berhampiran zon paling aktif di dunia?

Apa yang menimpa Venezuela disifatkan bencana paling dahsyat tahun ini apabila dua gempa bumi kuat bermagnitud 7.2 dan 7.5 menggegarkan kawasan berhampiran La Guaira dan ibu negara Caracas.

Dalam tempoh kurang seminit, gegaran kuat meruntuhkan bangunan kediaman, hospital, sekolah, jambatan dan pelbagai kemudahan awam.

Lebih 17,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, sementara ratusan bangunan musnah sepenuhnya dan lebih sejuta penduduk terjejas akibat bencana berkenaan.

Malah, dalam tempoh seminggu lalu sahaja, beberapa gempa bumi susulan melebihi magnitud 5.0 terus direkodkan di pelbagai lokasi dunia.

Antaranya gempa bermagnitud 5.8 di Papua New Guinea, 5.7 di Chile, 5.6 di Kepulauan Kuril, Rusia, 5.4 di Tonga, 5.3 di Laut Banda, Indonesia dan 5.2 di Alaska, Amerika Syarikat.

Walaupun kebanyakan kejadian itu tidak mengakibatkan korban besar, ia menunjukkan aktiviti gempa bumi di sempadan plat tektonik dunia masih kekal aktif.

Cincin Api Pasifik kekal zon paling berbahaya berikutan hampir 90 peratus gempa bumi dunia berlaku di sepanjang Cincin Api Pasifik, iaitu rangkaian sepanjang kira-kira 40,000 kilometer yang mengelilingi Lautan Pasifik.

Zon ini merentasi New Zealand, Papua New Guinea, Indonesia, Filipina, Jepun, Rusia, Alaska sehingga ke pantai barat Amerika Utara dan Selatan.

Di kawasan inilah kebanyakan plat tektonik dunia bertembung, menyebabkan tenaga yang terkumpul dilepaskan dalam bentuk gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Indonesia, Filipina dan Jepun adalah antara negara paling aktif mengalami gempa bumi setiap tahun.

Walaupun kekerapan laporan gempa bumi kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan, pakar seismologi antarabangsa menegaskan keadaan itu tidak bermaksud bumi sedang memasuki fasa luar biasa atau menghampiri 'kiamat'.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pergerakan plat tektonik adalah proses semula jadi yang berlaku sejak jutaan tahun lalu.

"Pakar menjelaskan satu gempa bumi besar di sesebuah negara tidak menyebabkan berlakunya gempa bumi besar di negara lain yang terletak ribuan kilometer jauhnya.

"Sebaliknya, peningkatan laporan yang diterima hari ini banyak dipengaruhi oleh perkembangan teknologi pemantauan moden yang mampu mengesan hampir semua gegaran sederhana di seluruh dunia dalam masa beberapa minit," katanya.

Menurutnya, apa yang menentukan jumlah korban bukanlah angka magnitud semata-mata, sebaliknya tahap kesiapsiagaan sesebuah negara, pematuhan kod bangunan tahan gempa, kepadatan penduduk dan kecekapan operasi menyelamat.

"Malaysia tidak berada di Cincin Api, tetapi Malaysia sering dianggap bebas daripada ancaman gempa bumi kerana tidak terletak secara langsung di atas Cincin Api Pasifik.

"Namun hakikatnya, Malaysia berada sangat hampir dengan dua zon seismik paling aktif di dunia iaitu Indonesia dan Filipina.

"Sabah hanya dipisahkan beberapa ratus kilometer daripada selatan Filipina yang kerap mengalami gempa bumi kuat, manakala bahagian barat Semenanjung pula berhadapan dengan Sumatera yang menjadi antara kawasan paling aktif di dunia.

"Keadaan itu menyebabkan gegaran daripada gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina sering dirasai di Sabah, Sarawak dan kadangkala di Semenanjung Malaysia," katanya.

Di dalam negara, Sabah dikenal pasti sebagai negeri paling terdedah kepada kejadian gempa bumi kerana mempunyai beberapa sesar aktif.

Tragedi gempa bumi Ranau bermagnitud 6.0 pada 2015 yang meragut 18 nyawa menjadi bukti bahawa Malaysia sendiri tidak terkecuali daripada ancaman itu.

Sejak kejadian itu, ratusan gegaran kecil direkodkan setiap tahun di Sabah, walaupun kebanyakannya tidak dirasai penduduk.

Selepas tragedi Ranau dan pengalaman tsunami Aceh 2004, pelbagai langkah dipertingkatkan kerajaan terutama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengendalikan rangkaian stesen seismik yang beroperasi sepanjang masa bagi mengesan gempa bumi serta mengeluarkan amaran tsunami sekiranya perlu.

Dalam aspek pembinaan pula, bangunan strategik dan projek moden kini direka mengikut piawaian kejuruteraan yang mengambil kira beban gegaran, terutama di kawasan berisiko seperti Sabah.

Namun pakar berpendapat masih banyak bangunan lama yang dibina sebelum penguatkuasaan piawaian tahan gempa memerlukan penilaian semula.

Mereka turut menegaskan bahawa kesedaran masyarakat mengenai tindakan ketika gempa bumi masih rendah.

Ramai masih tidak mengetahui prosedur asas seperti Drop, Cover and Hold On (baring, lindung dan pegang) yang sering menjadi penentu antara hidup dan mati.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search