PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Redah banjir boleh undang bahaya - Bomba

Redah banjir boleh undang bahaya - Bomba

KUALA LUMPUR: Pemandu dinasihatkan sentiasa berwaspada serta merancang perjalanan ketika hujan lebat dan tidak meredah kawasan banjir bagi mengelakkan diri serta kenderaan terperangkap.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata pemandu perlu mengutamakan keselamatan dan mencari laluan alternatif sekiranya berdepan jalan yang dilanda banjir.

Katanya, kedalaman air dan keadaan permukaan jalan sukar dikenal pasti ketika banjir, sekali gus boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan atau enjinnya dimasuki air.

"Pemandu diminta merancang perjalanan ketika musim hujan dan jangan sesekali cuba meredah banjir yang dalam.

"Kenderaan boleh tersangkut dan pemilik pula terpaksa menanggung kos besar untuk membaiki atau melakukan 'overhaul' enjin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan pemandu supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko semata-mata mahu meneruskan perjalanan.

Nasihat itu dikeluarkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Petaling Jaya, dekat sini, petang ini.

Antaranya Medan Selera 223 yang dinaiki air sedalam dua meter, selain beberapa kereta ditenggelami banjir berhampiran ibu pejabat Amway Malaysia di Seksyen 51A.

Tiada mangsa atau pemindahan dilaporkan, manakala paras air menunjukkan trend menurun ketika pasukan bomba tiba.

Ashrul Riezal turut menasihatkan pengguna jalan raya yang terperangkap dalam banjir supaya segera menghubungi talian kecemasan dan tidak cuba menyelamatkan diri tanpa bantuan sekiranya arus deras atau paras air terus meningkat.

Bagaimanapun, banjir kilat boleh berlaku secara mendadak apabila paras air naik pantas ketika hujan lebat, termasuk ketika aliran trafik sesak sehingga pemandu tidak sempat berpatah balik atau mencari laluan alternatif.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search