PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Melaka umum mangsa banjir dikecualikan bayar bil air Julai

Melaka umum mangsa banjir dikecualikan bayar bil air Julai

AYER KEROH: Semua keluarga yang dikenal pasti terjejas akibat banjir di Melaka, baru-baru ini, dikecualikan pembayaran bil air bagi penggunaan bulan ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata inisiatif menerusi Bantuan Khas Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) itu membabitkan kos kira-kira RM50,000.

Katanya, ia bakal memberi manfaat kepada 327 keluarga, namun jumlah penerima itu mungkin berubah mengikut laporan dan proses pendaftaran yang sedang dikemas kini.

Justeru, beliau mengarahkan pihak bertanggungjawab seperti jabatan berkaitan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya mempermudah serta mempercepatkan pelaksanaan bantuan itu tanpa membebankan mangsa dengan kerenah birokrasi.

Beliau berkata, keluarga yang sudah dikenal pasti sebagai mangsa banjir tidak sepatutnya melalui pelbagai proses bagi membuktikan kelayakan mereka menerima bantuan.

"Kerajaan negeri amat memahami kesukaran dihadapi keluarga yang terjejas akibat banjir.

"Sehubungan itu, saya mengumumkan pemberian bil air percuma bagi penggunaan Julai ini kepada mangsa banjir," katanya pada sidang media selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, Kerajaan Melaka akan menghadiahkan kemasukan percuma ke beberapa lokasi produk pelancongan terpilih di negeri ini kepada orang ramai sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan saja akan dinikmati rakyat Melaka, malah turut terbuka kepada semua pelancong di negeri ini pada tarikh berkenaan.

"Ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat dan pelancong yang memilih Melaka sebagai destinasi kunjungan mereka.

"Bagaimanapun, senarai lokasi terbabit dalam program khas itu akan dimaklumkan sedikit masa lagi.

"Ia dijangka membabitkan beberapa tarikan utama seperti Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka serta beberapa muzium terpilih," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search