Yayasan Harik santuni mangsa ribut Kampung Datuk Keramat
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Seramai 21 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Kampung Datuk Keramat baru-baru ini menerima bantuan keperluan asas menerusi inisiatif Yayasan Harik.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Harik, Harik Fauzi berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban keluarga terjejas melalui sumbangan bakul rezeki serta barangan keperluan harian.
Beliau berkata, program yang diadakan semalam itu dilaksanakan susulan permohonan daripada Pengerusi Masjid Al-Akram Datuk Keramat, Mejar Jeneral (B) Datuk Ahmad Hadiatullah Mohd Ridzuan, yang memaklumkan keadaan mangsa serta keperluan bantuan segera.
“Saya percaya bantuan seperti ini perlu disampaikan dengan pantas, penuh rasa tanggungjawab dan semangat kebersamaan,” katanya.
Pada 26 Jun lalu, kejadian ribut yang melanda Kampung Datuk Keramat mengakibatkan 21 kediaman mengalami kerosakan, sekali gus menjejaskan kehidupan penduduk terlibat.
Harik berkata, kerjasama antara badan kebajikan, institusi masjid, sektor korporat dan individu penyumbang mampu memperkukuh jaringan bantuan kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan situasi bencana.
