PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Nelayan lega paras Empangan Timah Tasoh meningkat

Nelayan lega paras Empangan Timah Tasoh meningkat

PADANG BESAR: Nelayan darat di kawasan Empangan Timah Tasoh di sini lega apabila hasil tangkapan kembali stabil, susulan paras air mula meningkat berikutan hujan lebat sepanjang minggu lalu.

Sebelum ini, kebanyakan nelayan darat berdepan kesukaran apabila hasil tangkapan merosot teruk sehingga menjejaskan pendapatan harian mereka.

Zakaria Yusuf, 68, berkata, situasi kemarau tahun ini disifatkan terburuk sepanjang 40 tahun dia bergiat aktif sebagai nelayan di kawasan berkenaan.

“Jika diikutkan, anggaran kasar pendapatan setiap kali turun menangkap ikan boleh mencecah RM1,000 hingga RM2,000. Tetapi pada bulan lepas situasi agak teruk di mana saya hanya dapat jual hasil sekitar RM700 malah tangkapan juga sekitar 10 atau 13 kilogram (kg) sahaja.

“Buat masa ini, kami hanya pasarkan untuk memenuhi keperluan penduduk sekitar dan negeri ini sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sebelum ini, cuaca panas melampau di Perlis memberi kesan serius apabila Empangan Timah Tasoh yang menjadi sumber utama bekalan air domestik, pengairan pertanian dan tebatan banjir mengalami penyusutan paras air yang ketara.

Suhu panas mencecah 38 hingga 40 darjah Celsius itu menyaksikan empangan berada pada paras amaran iaitu 26.76 meter, hampir melepasi paras kritikal iaitu 26 meter.

Sementara itu, seorang lagi nelayan darat, Sabri Muhammad, 38, turut mengakui hasil tangkapannya meningkat sekitar 60 peratus selepas Perlis kembali hujan.

Katanya, cuaca panas sebelum ini menyebabkan ikan sukar untuk ditangkap di kawasan tebing, biarpun menahan pukat.

“Selepas hujan, barulah keadaan kembali pulih dan sekarang saya boleh dapat dalam 20 ke 30kg hasil tangkapan berbanding hanya 10kg pada bulan lalu,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search