PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

APM Limbang pantau kawasan berisiko banjir, tanah runtuh

APM Limbang pantau kawasan berisiko banjir, tanah runtuh

LIMBANG, 12 Mei: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang melaksanakan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir kilat dan tanah runtuh susulan keadaan cuaca hujan renyai-renyai yang berterusan di sekitar daerah tersebut.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Lans Koperal (PA) Rosnani Jahidi, operasi pemantauan dijalankan oleh Skuad MyAspa O Charlie yang digerakkan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) bagi meninjau keadaan semasa di lokasi terlibat.

“Pasukan yang terdiri daripada empat anggota bergerak ke lokasi pemantauan sekitar jam 8.23 malam dan selesai operasi pada jam 9.21 malam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan, antara lokasi yang terlibat ialah Jalan Batu 3, Bukit Mas (Methodist) dan Kampung Bukit Kota yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh.

“Hasil pemantauan di Jalan Batu 3 mendapati paras air berada pada tahap normal dengan trend menurun walaupun hujan renyai-renyai. Tiada tanda kenaikan air atau risiko banjir dikesan,” jelasnya.

Menurutnya, pemantauan di Bukit Mas (Methodist) dan Kampung Bukit Kota turut mendapati keadaan cerun adalah stabil tanpa sebarang tanda pergerakan tanah atau kejadian tanah runtuh.

“Kesemua lokasi berada dalam keadaan terkawal dan selamat sepanjang pemeriksaan dijalankan,” tambahnya.

APM Daerah Limbang akan terus melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan berisiko sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search