Sistem parit Lembah Klang ikut data taburan 40 tahun lalu
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Majoriti sistem perparitan di Lembah Klang dibina mengikut data taburan hujan 30 hingga 40 tahun lalu, lantas menjadi antara punca utama kekerapan banjir kilat sejak kebelakangan ini.
Pakar Perundingan Strategik Antarabangsa dan Matlamat Pembangunan Mampan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, sistem saliran lama itu dibina berdasarkan kapasiti terdahulu ketika kadar pembangunan bandar dan kepadatan penduduk masih berada pada tahap rendah berbanding keadaan semasa.
Katanya, kelemahan perparitan lama termasuk saliran sempit, cetek serta tidak diselenggara dengan baik menyebabkan air mudah melimpah ketika hujan lebat, meskipun dalam tempoh singkat.
“Sistem saliran lama yang sempit, cetek serta tidak diselenggara secara konsisten menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan mudah tersumbat oleh sampah serta mendapan lumpur.
“Keadaan ini menyebabkan kapasiti saliran gagal menampung hujan lebat berintensiti tinggi yang kini semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rabu lalu, dua lebuh raya utama di Lembah Klang sesak susulan banjir kilat, sekali gus menjejaskan pengguna jalan raya.
Kejadian pertama dilaporkan kira-kira pukul 4.14 petang di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) melibatkan laluan Kuchai Link menuju ke lebuh raya berkenaan.
Satu lagi insiden berlaku di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Kilometer 48.0 berhampiran Persimpangan Awan Besar arah timur dari Kinrara.
Dalam pada itu, Medan Selera 223 di sini dinaiki air hampir 1.2 meter susulan hujan lebat yang melanda ibu negara.
Susulan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan akan menaik taraf sistem perparitan di kawasan rendah bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kerja penambahbaikan itu menggunakan peruntukan tahun ini dengan tumpuan kepada kawasan berisiko termasuk Segambut dan Cheras.
Sementara itu, Pakar Pengurusan Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Haryati Shafii berkata, kekerapan banjir kilat turut berpunca daripada kadar urbanisasi sekitar Lembah Klang yang lebih pesat berbanding jangkaan asal.
Katanya, perkara itu membebankan kapasiti sistem saliran sedia ada sehingga mencetuskan banjir kilat ketika hujan lebat.
“Peningkatan kawasan pembangunan di sekitar Lembah Klang menyebabkan semakin banyak permukaan konkrit dan berturap, sekali gus meningkatkan kadar air larian permukaan.
“Keadaan ini menyebabkan air dengan cepat melimpah ke kawasan sekitar yang lebih rendah sehingga meningkatkan risiko berlakunya banjir kilat,” katanya.
Haryati berkata, pembangunan berskala kecil di kawasan bandar perlu dihentikan bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang semakin kerap berlaku.
Katanya, pembangunan berskala kecil atau pocket development yang dilakukan secara tidak sistematik menyebabkan sistem perparitan gagal berfungsi.
Ujarnya, pembinaan rumah, premis perniagaan dan kawasan parkir baharu di kawasan berkepadatan tinggi menyebabkan air hujan sukar diserap ke dalam tanah lalu menjadi punca air bertakung dengan cepat ketika hujan lebat. – UTUSAN
