MBPJ, JPS bina tembok banjir tangani banjir kilat
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Pembinaan tembok banjir atau ‘floodwall’ di kawasan kritikal Sungai Penchala antara langkah utama dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang di sekitar daerah ini termasuk Medan Selera 223, Jalan 223, di sini.
Selain itu, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memasang sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) sebagai usaha mengawal limpahan air ketika hujan lebat.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, pembinaan tembok banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu penting bagi mengelakkan kenaikan air di kawasan terbabit.
Katanya, SKaLiS akan dipasang di setiap saluran parit utama termasuk pemasangan injap sehala atau flap gate pada saluran kecil yang menuju ke Sungai Klang bagi mengawal limpahan air ketika hujan lebat.
“Semalam, saya telah turun padang bersama Ahli Majlis Zon 14, ketua jabatan, kontraktor serta wakil peniaga di lokasi terbabit bagi meninjau langkah boleh diambil bagi menyelaras tindakan segera melibatkan aspek saliran, pembersihan dan mitigasi banjir.
“Selain itu, MBPJ turut mengintegrasikan penggunaan sensor pintar termasuk siren amaran awal automatik bersama kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kenaikan paras air sungai secara lebih pantas.
“Pelepasan air dari setiap premis juga tidak boleh lagi disalurkan terus ke sungai bagi mengurangkan risiko peningkatan aliran air ketika hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, JPS mengarahkan pihak pemaju (kontraktor) menaikkan jambatan besi sementara di kawasan terbabit bagi mengelakkan air sungai melimpah semula atau backflow ke sistem perparitan milik MBPJ.
Jelas beliau, pemaju juga diarahkan mengemukakan pelan naik taraf longkang parit hujan lebat (PHL) di bahagian ‘upstream’ dan ‘downstream’ untuk semakan serta kelulusan pelaksanaan kerja naik taraf.
“Pemaju terbabit turut perlu menaik taraf sistem PHL di bahagian upstream sistem perparitan di sebahagian Jalan 227 berhampiran pintu belakang gerai Medan Selera 223.
“Malah, bagi mengurangkan beban peniaga, pihaknya akan mengecualikan bayaran sewa selama dua bulan iaitu bagi Mei dan Jun tahun ini kepadq mereka yang terkesan
Tambahnya, semua tindakan berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan risiko banjir dapat dikurangkan selain menjamin keselamatan penduduk dan peniaga di kawasan terbabit.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon 14, S. Asogan berkata, kejadian banjir di kawasan terbabit dipercayai berpunca akibat sistem perparitan yang tidak dapat menampung kapasiti air dan pembangunan.
“Justeru, longkang kawasan itu akan dinaik taraf atau diluaskan bagi mengelakkan berlakunya insiden banjir,” katanya.
Rabu lalu, beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat susulan limpahan air Sungai Penchala akibat hujan lebat.
Antara terkesan, Medan Selera 223 anggaran kedalaman 1.21 meter (m) malah sebelum ini kawasan terbabit dinaiki air selama tiga hari berturut bulan lalu. – UTUSAN
