PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kedah berkorban kekalkan kawasan padi, tadahan air

Kedah berkorban kekalkan kawasan padi, tadahan air

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pengorbanan negeri dalam mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar tadahan  air wajar disusuli dengan insentif kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Sultan Sallehuddin bertitah bahawa baginda amat menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun sejajar dengan usaha untuk memastikan keterjaminan bekalan beras negara.

“Beta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyalurkan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur bagi tujuan tersebut.

“Walau bagaimanapun, pengorbanan negeri beta dalam mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda ini wajar disusuli dengan insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan sepertimana yang telah dimohon oleh Kerajaan Negeri Kedah,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Sementara itu, baginda bertitah agar kerajaan negeri mengambil pendirian yang lebih tegas, proaktif dan memelihara kawasan tadahan air termasuk memantau aktiviti-aktiviti haram yang boleh menjejaskan sumber air.

Titah baginda, ia adalah bagi berhadapan dengan keadaan cuaca panas di mana kadar takungan empangan berada pada paras kritikal.

“Seiring dengan itu, beta menegaskan bahawa kelangsungan sektor pertanian, perindustrian dan keperluan domestik amat berkait rapat dengan kestabilan sumber air, khususnya dari kawasan hutan tadahan.

“Walau bagaimanapun, fenomena cuaca yang semakin tidak menentu termasuk ketidakseimbangan pola hujan dan musim kemarau yang berlaku ketika ini memerlukan pengurusan sumber air yang mampan, amalan pertanian yang lebih berdaya tahan serta menambah baik pelan mitigasi risiko bencana secara lebih serius perlu dilaksanakan,” titah baginda.

Sultan Kedah juga bertitah supaya agensi pembangunan dan penyelidikan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) perlu lebih agresif memberi tumpuan kepada pembangunan benih padi yang lebih bermutu tinggi.

Selain itu, titah baginda, tumpuan juga perlu diberikan kepada penggunaan jentera dan teknologi moden serta turut memperkasakan penggunaan Internet of Things yang mampu meningkatkan produktiviti sektor itu.

“Dalam masa yang sama, beta juga menyarankan agar skim penanaman padi secara estet perlu diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti hasil padi dan pendapatan petani yang lebih mampan,” titah Sultan Sallehuddin. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search