Petani Miri kekal berdepan cabaran tanah, buruh dan cuaca
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 1 Mac: Petani di Miri terus berdepan tekanan operasi melibatkan kekurangan tanah, isu tenaga kerja serta faktor cuaca yang tidak menentu, yang menjejaskan hasil tanaman dan kestabilan pengeluaran.
Bagi memastikan kelangsungan sektor pertanian, aspek tanah, tenaga kerja dan pasaran dikenal pasti sebagai tiga elemen utama yang perlu bergerak seiring.
Menurut Pengerusi Persatuan Penanam Bahagian Miri, Chin Vui Min, kekangan tanah dan tenaga kerja termasuk pekerja import antara isu berpanjangan yang membelenggu petani tempatan dan risiko cuaca ekstrem pula memberi kesan langsung kepada hasil tanaman.
“Jadi beberapa masalah timbul, biasanya dihadapi oleh petani-petani kita. Yang pertama ialah tanah. Mereka memerlukan tanah untuk bercucuk tanam kerana tanah itu sentiasa tidak mencukupi. Dan yang kedua pula ialah pekerja atau pekerja import.
“Yang ketiga ialah cuaca. Kadang-kadang musim kemarau, tanaman perlu disiram. Kadang-kadang hujan terlalu lebat, akan terjejas akibat banjir. Itulah masalah yang biasanya dihadapi oleh petani kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Penanam Bahagian Miri, di sini, hari ini.
Ditubuhkan pada 1979, persatuan yang kini memasuki usia 47 tahun terus berperanan sebagai platform memperjuangkan kepentingan petani selain menggalakkan amalan pertanian mampan.
Antara inisiatif utama persatuan ialah menggalakkan penyertaan dalam Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) bagi memastikan hasil tanaman selamat dimakan serta berpotensi menembusi pasaran lebih luas termasuk eksport.
Sementara itu, pemilik Mak’s Farm, Mak Ah Kit berkata, sokongan kerajaan melalui penyediaan tanah dan infrastruktur menerusi Skim Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) banyak membantu perkembangan perusahaan pertanian beliau.
Kini, beliau mengusahakan kira-kira 50 hektar tanah pertanian di beberapa lokasi termasuk Sungai Rait dan Bekenu.
“Saya mempunyai tanah seluas 50 hakter. Dari Sungai Rait pun ada, dari Bekenu pun ada. Tanah yang diberikan kerajaan Sarawak melalui TKPM banyak membantu kami menanam. Kami sangat menghargai sokongan kerajaan,” katanya.
Beliau juga merupakan antara pembekal terbesar di Miri, dengan menekankan kepentingan pasaran seiring dengan tanah dan tenaga kerja.
“Sekarang, 40 peratus hasil ditujukan kepada pasaran tempatan manakala 60 peratus ke pasar raya. Untuk menanam sayur, tiga elemen ini perlu bergerak seiring iaitu tanah, tenaga kerja dan pasaran,” katanya.
Selain memenuhi permintaan di Miri, hasil pertanian turut dipasarkan ke Bintulu, Sabah dan Brunei Darussalam, sekali gus mencerminkan permintaan yang konsisten terhadap produk tempatan.
Beliau optimis, dengan sokongan berterusan kerajaan serta pasaran yang stabil, sektor pertanian Sarawak mampu terus berkembang dan kekal berdaya saing. – TVS
