Alternatif hasilkan air terawat kena cekap tenaga, bersifat lestari
- Admin UKK
- Berita
Isu bekalan air terawat adalah antara isu hangat perlu ditempuhi negara kita dan seolah-olah tiada berpenghujung. Ia disebabkan bekalan air terawat adalah di bawah bidang kuasa negeri, menjadi satu tembok penghalang bagi Pusat menyelesaikan isu ini secara menyeluruh.
Pertikaian mengenai isu bekalan air ini turut menjadi retorik politik dan kerenah birokrasi dalam hubungan antara negeri seperti yang berlaku antara Kedah dan Pulau Pinang.
Selain daripada masalah pengasingan kuasa, perebutan sumber air yang menjadi punca utama bekalan air terawat dapat disalurkan untuk kegunaan domestik dan industri juga berbangkit kerana diperoleh dari kawasan alam semula jadi seperti tadahan hujan, tasik dan sungai dari negeri lain.
Apa yang pasti, kegusaran tiada bekalan air terawat mencukupi untuk kegunaan harian bukan hanya dalam kalangan penduduk setempat, malah turut dirasai industri pembuatan makanan dan minuman khususnya apabila gangguan bekalan air berlaku.
Sebagai contoh, syarikat pembuatan minuman popular beroperasi di negara ini memerlukan bekalan air mencukupi sebagai bahan asas utama penghasilan produk mereka. Ketiadaan bekalan air mencukupi akan merencatkan produksi dan jualan mereka.
Sementara itu, kajian dijalankan Water Systems and Global Changes, Wageningen University, Belanda menyatakan keadaan cuaca panas ketika ini turut menyumbang kepada peningkatan kadar penggunaan air bukan sahaja di negara ini, bahkan di negara lain.
Keadaan kemarau pula memburukkan lagi keadaan kerana mengakibatkan sumber bekalan air berkurang, sekali gus rawatan air untuk bekalan domestik juga meningkat.
Selain itu, kemasukan air masin laut ke dalam sumber air di kawasan tanah pamah meningkat apabila kemarau atau paras laut meningkat. Air masin yang memasuki kawasan air bawah tanah atau sumber air terdapat pada tanah akan mengurangkan jumlah sumber air yang ada.
Berdasarkan faktor berkenaan, mungkin sudah tidak masanya untuk negara tidak hanya mengharapkan bekalan air datangnya daripada sumber alam semula jadi seperti sungai, kawasan tadahan air atau empangan.
Ada baiknya negara meneroka kaedah alternatif penghasilan air terawat seperti dipraktikkan di beberapa negara seluruh dunia. Sekiranya tenaga elektrik boleh dijana daripada tenaga solar dan loji jana kuasa, sudah tentu terdapat kaedah moden dalam penghasilan bekalan air terawat.
Sebagai contoh, negara di Asia Barat berdepan bekalan air mentah terhad. Bagi mengatasi masalah ini, mereka menggunakan kaedah penyahaslian air laut untuk menghasilkan air terawat sebagai sumber harian rakyatnya.
Menurut data dikeluarkan Bank Dunia, sebanyak 75 peratus air laut terawat digunakan di Asia Barat dan Afrika Utara seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Libya dan Algeria.
Masalah utama loji rawatan
Kekangan utama dalam penghasilan air laut terawat ini adalah kos pembinaan loji penapisan air laut amat tinggi. Bagi negara berpendapatan tinggi seperti Arab Saudi, Qatar dan Bahrain mungkin bukan masalah besar bagi mereka untuk merawat air laut.
Namun, bagi negara atau negeri berpendapatan rendah dan masih membangun, pembinaan loji ini mungkin mengambil masa panjang bergantung kepada peruntukan diperoleh dalam membangunkan prasarana untuk merawat air laut ini supaya dapat digunakan untuk menghasilkan air terawat.
Antara sebab mengapa pembinaan loji penapisan air laut tidak begitu popular di negara, selain Asia Barat adalah kos pembinaan loji tinggi, bekalan air mentah masih boleh diperoleh daripada sumber alam seperti sungai, kawasan tadahan hujan, tasik dan empangan.
Bagaimanapun, pembinaan loji rawatan air laut ini dalam jangka masa panjang mampu menyelesaikan konflik atau krisis bekalan air di negara ini atau menjadi penyelamat sementara jika sumber air mentah untuk dirawat tercemar, terjejas atau merosot kuantitinya.
Walaupun begitu, inisiatif untuk mendirikan loji penapisan air laut ini harus terkandung dalam pelan perancangan pembangunan kawasan berhampiran laut, pulau atau negeri menghadapi bekalan air mentah terhad.
Sebagai contoh, Oman mempunyai loji penapisan air laut di Barka yang mana terdapat paip dipasang dalam laut untuk menyedut air laut sebelum air laut melalui beberapa siri tapisan untuk proses penyingkiran bendasing atau sampah.
Loji ini beroperasi menggunakan gas asli dan mampu menghasilkan 74 juta gelen air terawat untuk kegunaan seharian dan jumlah air dihasilkan ini boleh mengisi 112 kolam renang bersaiz Olimpik.
Bagi Oman, mereka tidak mempunyai sebarang alternatif lain untuk mendapatkan sumber air kerana tiada satu sungai pun mereka boleh ambil bekalan airnya secara mampan.
Selain itu, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menyatakan masalah utama loji rawatan atau penapisan air laut ini adalah mendakan garam akan terhasil dan memerlukan kaedah tertentu untuk melupuskannya.
Hal ini kerana pelupusan garam ini ke atas permukaan tanah akan mengakibatkan kesuburan tanah merosot dan menyebabkan toksik.
Pengeluaran air garam sekitar 142 juta meter padu sehari atau kira-kira 50 peratus pengeluaran air garam di Arab Saudi, UAE, Kuwait dan Qatar menyumbang 55 peratus jumlah mendakan garam global dan loji penapisan air laut juga menggunakan tenaga tinggi.
Oleh itu, perlu ada satu mekanisme mitigasi untuk mengurangkan kesan negatif garam mendak ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar sentiasa terjamin. Selain itu, perlu ada kaedah pelupusan garam lebih efisien dan ekonomi supaya bekalan air sentiasa mencukupi dan bukan lagi permasalahan untuk generasi sekarang dan akan datang.
Apa yang penting, segala usaha dirancang untuk menghasilkan air terawat perlu cekap tenaga, selamat, tidak mencemarkan alam dan bersifat lestari. -BERITA HARIAN