PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kerugian bencana meningkat, insurans dijangka ketatkan polisi

Kerugian bencana meningkat, insurans dijangka ketatkan polisi

KUALA LUMPUR: Syarikat insurans am berkemungkinan mengetatkan syarat pengunderaitan atau menarik diri daripada kawasan berisiko tinggi sekiranya kerugian akibat bencana alam terus meningkat secara mendadak, menurut MBSB Research.

Firma penyelidikan itu dalam laporan sektor terbaharunya memaklumkan perubahan iklim yang semakin ketara telah mencetuskan peningkatan mendadak kerosakan harta benda di peringkat global sejak lima tahun kebelakangan ini, dengan Malaysia turut tidak terkecuali daripada trend berkenaan.

Di peringkat domestik, kesan perubahan iklim paling ketara dapat dilihat melalui kejadian banjir yang semakin kerap dan teruk. Namun, bayaran tuntutan oleh syarikat insurans masih terhad, menyebabkan sebahagian besar impak kewangan terus ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

Menurut MBSB Research, sekiranya kerugian bencana terus meningkat secara dramatik, syarikat insurans swasta mungkin terpaksa mengambil langkah melindungi kedudukan kewangan mereka, termasuk mengetatkan piawaian pengunderaitan dan menilai semula pendedahan risiko di kawasan tertentu. Keadaan itu juga berpotensi mendorong kenaikan harga premium serta terma perlindungan yang lebih ketat bagi mengimbangi risiko tambahan.

Penganalisis MBSB Research, Samuel Woo, berkata syarikat insurans dijangka memindahkan kos risiko yang meningkat kepada pelanggan bagi menampung pendedahan kewangan yang lebih tinggi. "Untuk mengimbangi risiko tambahan, syarikat insurans akan memindahkan kos ini kepada pelanggan. Langkah ini berpotensi mengasingkan sebahagian pangkalan pelanggan, khususnya golongan berpendapatan rendah yang lebih cenderung tinggal di kawasan berisiko banjir," katanya.

 

MBSB Research turut memaklumkan bahawa di peringkat global, syarikat insurans sudah mula menarik diri daripada zon berisiko tinggi bagi melindungi kedudukan kewangan mereka daripada kerugian bencana yang berterusan, dan corak yang sama berkemungkinan berlaku di Malaysia. Jika situasi itu berlaku, penawaran perlindungan mampu milik di kawasan paling terdedah dijangka semakin terhad.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search