SMK Matang pusat pemindahan kekal bencana pertama Terengganu
- Admin UKK
- Berita
Pusat Pemindahan Kekal Bencana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang menjadi yang pertama siap di Terengganu membabitkan hampir RM1 juta.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, berkata pembinaan pusat berkenaan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir di Pantai Timur.
Katanya, sebelum ini dua Pusat Pemindahan Kekal Bencana siap di Johor, yang menawarkan kemudahan lebih selesa kepada mangsa banjir.
“Pusat Pemindahan Kekal Bencana SMK Matang mampu menempatkan lebih 200 mangsa dalam satu masa membabitkan tujuh bilik penginapan, hasil baik pulih asrama lelaki sedia ada dengan kos RM907,000.
“Kerja naik taraf bermula Julai tahun lalu dengan kemudahan tandas, tandas Orang Kurang Upaya (OKU), bilik mencuci pakaian serta bilik rawatan.
“Turut disediakan laluan berbumbung, ruang permainan, stor yang boleh dijadikan pengkalan hadapan operasi serta sistem tangki septik,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci PPKB SMK Matang, semalam.
Manfaat ketika kecemasan
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim Wan Rahim.
Meor Ismail berkata, Pusat Pemindahan Kekal Bencana berkenaan bukan sahaja bagi kegunaan ketika musim banjir, malah boleh dimanfaatkan untuk tujuan kecemasan dan kebajikan.
Katanya, 12 lagi Pusat Pemindahan Kekal Bencana dalam pembinaan di seluruh negara. “Satu lagi Sekolah Kebangsaan Peradong, Manir, Kuala Terengganu dalam pembinaan dan dijangka siap Julai 2026,” katanya.
