PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

'Pagi gegaran, petang kami kena pindah' - mangsa banjir

'Pagi gegaran, petang kami kena pindah' - mangsa banjir

SEGAMAT: "Pagi semalam kami dikejutkan dengan gegaran gempa lemah, petang pula kami dipindahkan kerana rumah dinaiki air," kata Raja Sahrin Tengku Ismail, 60, salah seorang mangsa banjir yang melanda di daerah ini, sejak malam tadi.

Warga emas yang menetap di Kampung Seberang Batu Badak berkata, kegusaran akibat gempa belum reda sebalik sekali lagi diuji dengan bencana banjir yang memaksanya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Pada jam 8.55 pagi semalam kami merasai gegaran, jam 8 malam pula, kami diarah berpindah selepas air sungai pula melimpah ke kediaman sekitar jam 1 tengah hari.

"Kebanyakan penduduk sudah lali dengan bencana ini kerana mereka tahu, hujung dan awal tahun akan berlaku monsun timur laut (MTL) yang menyebabkan banjir," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Jementah.

Raja Sahrin berkata, banjir kali ini dianggap antara paling teruk berlaku dan dipercayai berpunca benteng dibina tahun lalu pecah akibat strukturnya belum kukuh.

Seorang lagi mangsa banjir, Aishah Abd Hamid, 65 berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan rumahnya ditenggelami air hanya dalam tempoh tidak sampai dua jam.
 

"Saya keluar ke bandar Segamat sekitar jam 11 pagi untuk membeli barang keperluan namun pada jam 1 tengah hari, jiran memberitahu air sungai melimpah dan memasuki rumah saya.

"Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, air sudah melepasi paras lutut. Banjir memang terjadi setiap tahun tetapi kali ini ia berlaku pada hari sama kampung kami dilanda gempa lemah.

"Cuma kami bimbang kebiasaannya air lambat surut yang menyebabkan berlaku banjir termenung," katanya.

Kampung Seberang Batu Badak adalah antara tujuh kampung dilanda banjir yang menyaksikan seramai 167 mangsa daripada 55 keluarga dipindahkan ke PPS.

Kesemua mereka mula dipindahkan ke PPS 8 malam tadi, selepas hujan berterusan sejak Jumaat dan Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman, berkata Jalan Jabi-Bukit Tempurong ditutup kepada semua kenderaan susulan air naik sehingga 0.38 meter.

"Paras air dua sungai iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap masih melepasi paras bahaya.

"Sungai Muar di Kampung Awat merekodkan bacaan 20.13 meter (m) melepasi paras bahaya 19.95 m manakala Sungai Muar di Buloh Kasap. 8.64 m melebihi paras 8.53 m," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search