Luruan monsun memasuki rantau negara bermula Khamis ini
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan luruan monsun memasuki rantau negara bermula 1 hingga 5 Januari depan.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.
“Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook METMalaysia, hari ini.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, METMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di kawasan perairan timur laut Condore serta barat laut Reef North hingga Jumaat ini, dengan kelajuan angin lebih 60 kilometer (km)/jam dan ombak setinggi lebih 4.5 meter (m).
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai serta perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.
Dalam tempoh sama, METMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin berkelajuan 50 hingga 60km/jam dan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5m yang dijangka berlaku di kawasan perairan Condore serta timur laut dan barat daya Reef North.
“Keadaan angin kencang serta laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri,” katanya.
Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan bagi kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara dan utara Reef North, Layang-Layang serta barat Palawan.
Angin kencang berkelajuan 40 hingga 50km/jam dengan ketinggian ombak mencapai 3.5m dijangka berlaku di kawasan terbabit, yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – UTUSAN
