Fenomena cuaca panas, Sungai Tamparuli jadi cetek
- Admin UKK
- Berita
Tamparuli: Paras Sungai Tamparuli yang mengalir ke dua Loji Rawatan Air Telibong mengalami penyusutan ketara selepas tidak berlaku hujan lebat di daerah ini lebih dua minggu.
Tinjauan mendapati sungai berhampiran jambatan Tamparuli, di sini, menjadi cetek dan menyebabkan tebing sungai kering menjadi luas sehingga menampakkan daratan pasir dan batu.
Apabila paras sungai Tamparuli mengalami penyusutan, loji rawatan air Telibong turut terjejas, memaksa tekanan air disalur kepada pengguna di daerah ini dan sekitarnya diperlahankan.
Difahamkan, loji rawatan air Telibong hanya mampu membekalkan air terawat sekitar 25 hingga 30 peratus kepada pengguna di Tuaran dan Utara Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, loji rawatan air Telibong kedua mampu menyediakan 80 juta liter air sehari kepada pengguna di Tuaran dan Utara Kota Kinabalu.
"Jika kemarau berterusan sehingga menjejaskan paras Sungai Tamparuli yang dirawat dua loji Telibong, catuan air kepada pengguna tidak dapat dielakkan," katanya ketika lawatan ke loji rawatan itu.
Ketika ini, sebahagian besar penduduk Tamparuli dan Tuaran menghadapi masalah air terawat, memaksa kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil pelbagai pendekatan untuk menyelesaikannya.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula menasihatkan penduduk di puluhan taman perumahan seperti Taman Seri Rugading, Taman Telipok Ria, Taman Putrajaya dan Bandar Siera sentiasa menjimatkan pengguna air termasuk ketika musim kemarau.
Sehubungan itu, Tangau berkata, Jabatan Air akan memantau sebarang penurunan tekanan air seperti kejadian paip pecah dan memantau pengagihan bagi meminimumkan gangguan semasa perayaan. - HARIAN METRO