PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir berulang:Tiga agensi digembleng, kerja saliran dipertingkat

Banjir berulang:Tiga agensi digembleng, kerja saliran dipertingkat

MIRI, 17 Dis: Isu banjir berulang di beberapa kawasan sekitar Senadin, Permyjaya dan Tudan mendapat perhatian serius kerajaan negeri, dengan tindakan penyelarasan melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin, berkata DID telah mengambil tindakan awal dengan melaksanakan kerja pembersihan dan penyelenggaraan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai punca aliran air tersekat.

“DID sebenarnya telah mengambil tindakan sejak awal tahun lagi. Beberapa kawasan di bawah penyelenggaraan mereka sudah dibersihkan, termasuk longkang utama dan kolam takungan air di Permyjaya, Desa Senadin, Tudan dan Jalan Datuk Permaisuri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat berkenaan Isu Perparitan, Banjir, Jalan Rosak dan Utiliti di sekitar Miri di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, antara kerja yang telah disiapkan termasuk penyelenggaraan sistem saliran di kawasan Permyjaya, Jalan Datuk Permaisuri, Desa Pujut serta beberapa kawasan di Desa Senadin.

Walau bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat beberapa lokasi yang memerlukan tindakan lanjut, termasuk kawasan outlet saliran yang dikenal pasti mempunyai halangan akibat pembangunan dan struktur utiliti.

“Pada masa yang sama terdapat juga kawasan lain yang sedikit bermasalah dengan pelepasan saluran keluar. Di mana terdapat tiang talian pengagihan tegangan tinggi oleh Sarawak Energy,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut meminta pihak JKR untuk meneliti masalah saliran di sepanjang lebuhraya Pan Borneo, khususnya membabitkan kes pembuangan sampah haram dan pembetung bersaiz kecil yang menjejaskan aliran air.

Menurut beliau, MBM juga akan memeriksa dan membersihkan semua sistem saliran di bawah seliaannya, terutama di kawasan perumahan yang sering terjejas.

Beliau menegaskan, kerjasama antara DID, JKR dan MBM amat penting bagi mengenal pasti punca sebenar banjir dan memastikan semua kerja pembaikan dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh bermula.

Tambahnya, semua agensi terlibat kini berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku sebarang insiden bencana. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search