Banjir di Johor: PPS ketiga di Mersing dibuka
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Pusat pemindahan sementara (PPS) ketiga dibuka di Mersing, selepas Kampung Orang Asli Labong, Endau terjejas dengan banjir di daerah berkenaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Labong itu dibuka jam 5 petang tadi, bagi menempatkan 66 penduduk daripada 12 keluarga.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, setakat jam 8 malam ini, mangsa banjir di Mersing meningkat kepada 317 orang (87 keluarga) berbanding 240 orang pada 4 petang.
"PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar menempatkan 128 mangsa daripada 35 keluarga yang juga penduduk Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong.
"Sementara, PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching menempatkan 123 penduduk Kampung Baru Air Tawar, Kampung Hubong, Kampung Belukar Juling dan Kampung Semaloi yang terdiri daripada 40 keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terhadap amaran hujan lebat berterusan kategori buruk masih kekal ke atas empat daerah di negeri ini iaitu Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dijangka sehingga esok.
Amaran hujan berterusan kategori waspada pula kekal ke atas baki enam daerah lain di negeri ini, juga dijangka sehingga esok.
Sementara itu, sumber dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia pula menunjukkan keadaan paras air sungai yang semakin baik apabila kini tinggal 11 sub lembangan membabitkan kira-kira lima sungai di Segamat, Tangkak, Mersing, Batu Pahat dan Muar berada pada aras air bahaya, amaran dan waspada.
Hanya cuaca di Segamat dilaporkan hujan setakat jam 8 malam, manakala Muar, Mersing, Kluang dan Kulai dilaporkan mendung serta baki lima daerah lain dilaporkan cerah.
Pada masa sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) pula mengeluarkan arahan berkaitan penutupan jalan yang terputus hubungan akibat terjejas banjir iaitu satu di Mersing dan dua di Kota Tinggi.
Hanya satu lorong dibuka di Jalan Johor Bahru - Endau Rompin, Mersing di kawasan Ladang Tenusu.
Sementara di Kota Tinggi, Jalan Mawai Lama, dibuka bagi kenderaan berat sahaja dan laluan di kawasan Kim Long dekat Jalan Kota Tinggi - Kluang dibuka hanya untuk kenderaan ringan sahaja.
