Hannah mahu tumpu kurangkan insiden banjir di Wilayah Persekutuan
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang baharu dilantik, Hannah Yeoh, meletakkan keutamaan bagi memastikan Wilayah Persekutuan ditadbir dengan ketelusan dan kepekaan terhadap realiti hidup rakyat termasuk mengurangkan insiden banjir.
Hannah yang ditukar portfolio daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui rombakan Kabinet semalam, berkata ia termasuk penambahbaikan perkhidmatan asas kerajaan, pembangunan yang mampan dan kawasan rekreasi dilindungi.
"Kepercayaan yang diberikan ini adalah satu tanggungjawab besar yang akan saya pikul dengan penuh komitmen, integriti dan keazaman.
"Ia adalah bagi memastikan tadbir urus Wilayah Persekutuan terus diperkukuhkan selari dengan aspirasi kerajaan MADANI serta tuntutan rakyat yang mahukan perkhidmatan awam yang cekap, inklusif dan berkesan," katanya melalui kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Hannah berkata, sebagai Ahli Parlimen Segambut yang berpangkalan di Kuala Lumpur, beliau memahami secara dekat cabaran, keperluan serta aspirasi warga Wilayah Persekutuan.
Justeru, beliau komited untuk terus membabitkan pemegang taruh melalui libat urus yang menyeluruh khasnya Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kerana mereka mewakili suara rakyat yang perlu didengari dalam setiap proses pembuatan dasar.
"Sebelum ini, saya berpeluang berkhidmat bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (bekas Timbalan Perdana Menteri) dan pengalaman terbabit membentuk kefahaman saya mengenai nilai amanah, kepimpinan berteraskan kebajikan rakyat serta disiplin perkhidmatan awam yang kini saya teruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Hannah juga sempat mengimbau tugasnya di KBS di mana keutamaan diberikan kepada kebajikan dan perlindungan atlet seperti pengenalan caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) untuk atlet podium, pelaksanaan Program Road To Gold (RTG), pengukuhan program pembangunan akar umbi dan penyediaan fasiliti sukan percuma kepada komuniti.
Beliau berkata, keutamaan juga diberikan kepada pelaksanaan Kod Sukan Selamat, insentif pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti sukan dan gaya hidup sihat, pelbagai dana sukan disediakan untuk perhebatkan industri sukan, senarai sukan yang diwartakan bertambah dua kali ganda dan sukan untuk semua seperti pengenalan Masters Games.
"Pembaharuan dasar belia turut diberi penekanan melalui pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia yang menetapkan had umur belia sehingga sebelum 30 tahun yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 sebagai langkah memperkukuhkan kepimpinan belia muda dan memastikan peralihan generasi berlaku secara terancang dan inklusif.
"Program popular Rakan Muda dirancakkan semula dan pelbagai intervensi sosial untuk belia berisiko diutamakan," katanya.
