Kemaman, Dungun masih terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Banjir di Kemaman dan Dungun belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih dengan seramai 473 mangsa masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.30 pagi ini.
Semua mangsa berpindah ke PPS berkenaan secara berperingkat sejak Isnin lalu dengan yang terbaharu dibuka hari ini di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor dan Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu di Kemaman.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, daripada jumlah mangsa dipindahkan, 397 orang melibatkan 116 keluarga adalah di Kemaman yang berlindung di 10 PPS.
Di Dungun pula, sejumlah 76 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dijangka berterusan hari ini di beberapa negeri khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor.
Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) hingga itu dijnga berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang.
“Amaran Hujan Berterusan (Buruk) pula diramal di Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di beberapa kawasan termasuk Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh); Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya. – UTUSAN
