PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Struktur Jambatan Bukit Damar rosak akibat arus deras banjir

Struktur Jambatan Bukit Damar rosak akibat arus deras banjir

MARANG: Jambatan Bukit Da­mar yang merupakan laluan utama penduduk di sini terpaksa ditutup sementara secara ‘sebelah-sebelah’ kepada semua kenderaan bermula hari ini akibat kerosakan struktur serius.

Penutupan dijadualkan selama lapan hari itu perlu dilaksanakan segera untuk mengelak risiko kerosakan lebih serius dan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jambatan dan jalan dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna. 

Seorang penduduk, Mukhlis Azmi berkata, struktur di bawah jambatan itu dikesan rosak termasuk mengalami hakisan dan ada yang patah dibawa arus deras air semasa banjir gelombang pertama, baru-baru ini.

Katanya, kesan retakan di permukaan jalan juga dapat dilihat yang memerlukan pembaikan segera bagi memastikan keselamatan pengguna dan mengelak risiko kerosakan lebih serius.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Marang telah turun ke lokasi Khamis lalu bagi meninjau situasi ini. Penutupan ini dibuat atas arahan JKR daerah bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan segera.

“Laluan ini digunakan oleh ribuan penduduk sama ada untuk keluar ke Pekan Bukit Payung atau ke Pantai Ali termasuk ke susur masuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Pasir Tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, JKR Marang dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan mendapati jambatan tersebut mengalami kerosakan agak kritikal dan perlu diselenggarakan dengan segera.

“Pengguna Jalan Rawai-Pantai Ali diminta mematuhi arahan papan tanda dan kawalan lalu lintas yang disediakan sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan jambatan serta jalan yang dijadualkan bermula 16 Disember hingga 23 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rawai menerusi Facebook memaklumkan, perbincangan akhir bersama JKR Marang telah memperincikan  laluan alternatif antaranya dilaksanakan penutupan jambatan secara ‘sebelah-sebelah’ bagi membolehkan pembaikan dijalankan dengan selamat dan memastikan aliran trafik dapat diteruskan secara terkawal.-UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search