Banjir makin pulih, hanya 6 PPS dibuka di 2 negeri
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di seluruh negara semakin pulih dengan hanya berbaki 236 mangsa masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di dua negeri.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemaskini jam 11 malam tadi, sebanyak empat PPS dibuka di Sarawak, sementara dua lagi di Perak.
Di Sarawak, seramai 166 mangsa banjir merangkumi 61 keluarga direkodkan masih ditempatkan di PPS di dua daerah iaitu Bintulu dan Miri.
Sementara, di Perak, satu-satunya daerah yang terjejas adalah Hilir Perak, dengan jumlah keseluruhan mangsa ketika ini, 70 orang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri sehingga jam 8 pagi ini.
Cuaca buruk itu diramal berlaku di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah.
Di Selangor, amaran itu dikeluarkan di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang, Negeri Sembilan membabitkan Port Dickson, Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah), Sarawak membabitkan Kapit (Belaga), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri dan Limbang, selain Sabah (Kudat).
Dalam kenyataan sama, MetMalaysia turut memberitahu amaran terbabit dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimiter atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
