PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Ubah corak pembangunan, mentaliti tangani banjir

Ubah corak pembangunan, mentaliti tangani banjir

Sebanyak RM340.7 juta diperlukan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan 356 kerja pemulihan dan pembaikan aset infrastruktur pascabanjir selepas bencana itu melanda beberapa negeri baru-baru ini. Jumlah itu sebenarnya hanya membabitkan komponen jalan, cerun, jambatan serta sistem elektrik, iaitu di bawah bidang kuasa JKR tetapi belum mengambil kira perbelanjaan pihak berkuasa lain di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lazimnya turut menanggung puluhan juta ringgit kerugian.

Hakikatnya, pemulihan dan pembaikan pascabanjir bukan tanggungjawab baharu, meskipun semakin mendapat perhatian susulan banjir besar pada Disember 2021 hingga Januari 2022 yang menenggelamkan beberapa lokasi selama ini dianggap 'kalis banjir' di Selangor dan Negeri Sembilan, Melaka dan kawasan Pantai Barat hingga negara menanggung kerugian berbilion ringgit akibat kemusnahan rumah, kenderaan, infrastruktur komuniti dan kemudahan awam. Bagaimanapun, corak kerosakan sama terus berulang saban tahun seolah-olah pelan pengurusan risiko negara hanya bermula selepas bencana berlaku, bukan sebelumnya.

Di sebalik fakta Malaysia sebagai negara beriklim Tropika, faktor penyebab banjir bukan hanya intensiti hujan atau perubahan iklim global, sebaliknya ia turut berpunca daripada pembangunan tidak lestari yang memusnahkan kawasan tadahan, sistem perparitan tidak direka mengikut kapasiti sebenar atau menjangkakan pertumbuhan penduduk, kawasan hijau semakin mengecil dan permukaan bandar terlalu banyak berturap hingga air hujan meluru terus ke saliran yang sempit dan tersumbat. Semua faktor ini bergabung menjadi kuasa alam dan kesilapan manusia yang akhirnya memusnahkan harta benda, malah dalam banyak kejadian meragut nyawa.

 

Lebih malang, mentaliti masyarakat turut menjadi penyumbang besar kepada kerosakan ini. SWCorp melaporkan rakyat Malaysia menghasilkan hampir 40,000 tan sampah sehari dan sebahagian besarnya berakhir di longkang, parit, sungai serta perangkap sampah yang tidak diselenggara. Apabila saliran dipenuhi plastik, sisa domestik dan bahan pepejal, kapasiti aliran air merosot drastik, lalu banjir kilat berlaku walaupun hujan hanya turun dalam tempoh singkat, bahkan dalam sesetengah kes sekitar dua tiga jam sahaja. Situasi ini berlaku hampir di setiap negeri daripada banjir kilat di ibu kota hingga banjir termenung di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, sekali gus memberi sifar ruang kepada mana-mana pihak untuk menuding jari.

Justeru, kita mengingatkan pemulihan infrastruktur meskipun penting, tidak boleh menjadi satu-satunya tindak balas negara terhadap banjir. Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan pelan mitigasi banjir berskala besar, menaik taraf sistem perparitan bandar, menambah kawasan tadahan, memperketat syarat pembangunan dan memastikan PBT menjalankan penyelenggaraan berkala lebih profesional. Kita juga meminta kerajaan negeri dan PBT menilai semula zon pembangunan kerap terjejas supaya tidak membina kawasan baharu di lokasi berisiko. Masyarakat juga tidak boleh terus berpegang kepada sikap lama seolah-olah pengurusan sampah adalah urusan pihak berkuasa sahaja. Ia perlu bermula dengan budaya mengasingkan sisa, mengitar semula dan membuang sampah pada tempatnya, selain menjadi masyarakat yang peka dengan pembangunan lestari serta mampan.

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search