PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kerugian banjir Perlis lebih RM200j

Kerugian banjir Perlis lebih RM200j

KANGAR: Banjir melanda Perlis baru-baru ini yang disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun meninggalkan kesan kemusnahan dahsyat dengan kerugian dianggarkan melebihi RM200 juta.

Dalam tempoh tiga hari bermula 23 hingga 25 November lalu menyaksikan Perlis dalam keadaan kritikal dengan hampir keseluruhan negeri ditenggelami air sehingga 9,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 14,785.56 hektar sawah tenggelam dan lokasi pelancongan, sekolah, hospital dan pejabat kerajaan menghadapi kerosakan serius.

Meskipun tidak seteruk banjir 2010, banjir Perlis 2025 akan diingati sebagai terburuk dalam sejarah negeri ini. Pada 2010, lebih 63,000 penduduk terkesan dengan hampir 47,000 hektar atau separuh negeri ditenggelami air dan kerugian dianggarkan mencecah RM200 juta. 

Bagaimanapun, selepas pembinaan projek Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh bermula 2012 dan siap sepenuhnya pada 2020, Perlis berjaya mengelak dari banjir lebih dahsyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, kerugian banjir pada kali ini dijangka lebih besar daripada 2010 dengan dianggarkan sekitar RM230 juta atau tinggi yang meliputi kerosakan infrastruktur seperti bangunan kerajaan, jalan raya, sektor pertanian, pelancongan dan kemusnahan harta benda.

Namun katanya, agensi-agensi berkaitan masih terus mengumpulkan maklumat mengenai jumlah kerugian sebenar akibat banjir berkenaan.

“Daripada segi kerosokan infrastruktur seperti bangunan kerajaan dan agensi sudah mencecah antara RM17 juta sehingga 20 juta,” katanya.

Rahimi berkata, pada masa ini, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sudah dihentikan selepas banjir di Perlis sudah kembali pulih, manakala usaha pemulihan dan bantuan masih berterusan dengan dikoordinasi agensi tertentu.

“Pengurusan banjir oleh kerajaan negeri termasuk keberkesanan PKOB sepanjang bencana itu berjalan cukup lancar tanpa sebarang isu atau masalah berbangkit,” katanya.

Katanya, banjir tersebut antaranya menyaksikan sektor pertanian mengalami kerugian lebih RM42 juta merangkumi kemusnahan sawah padi dan ladang harumanis.-UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search