PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

23 orang cedera, amaran tsunami ditarik balik

23 orang cedera, amaran tsunami ditarik balik

TOKYO: Gempa bumi kuat menggegarkan pantai utara Jepun lewat malam tadi dengan agensi meteorologi negara itu melaporkan beberapa ombak tsunami mencecah kawasan pantai, selain laporan kecederaan oleh media tempatan.

Gempa berukuran 7.6 pada skala Richter itu melanda perairan Misawa di pantai Pasifik Jepun hingga mengakibatkan penduduk dipaksa keluar dari kediaman masing-masing selain menyebabkan ribuan rumah terputus bekalan elektrik.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tsunami dengan satu ombak dilapor melanda sebuah pelabuhan di wilayah Aomori, lokasi terletaknya Misawa.

Menurut JMA lagi, beberapa ombak lain turut mencecah pantai dengan ketinggian sehingga 70 sentimeter. Awal pagi ini, agensi itu menarik balik amaran tsunami berkenaan, lapor agensi berita Kyodo.

 

Bagaimanapun JMA mengekalkan beberapa nasihat aras lebih rendah untuk kawasan tertentu di utara Jepun selama beberapa jam, sebelum ia turut dibatalkan.

Agensi pengurusan kebakaran dan bencana berkata, 23 orang cedera, termasuk seorang yang parah.

Kebanyakan mangsa dihempap ​​objek jatuh, lapor penyiar awam NHK, sambil menambah bahawa beberapa orang cedera di sebuah hotel di Hachinohe dan seorang lelaki di Tohoku cedera apabila keretanya terjatuh ke dalam lubang.

NHK memetik seorang pekerja hotel di bandar Hachinohe, Aomori sebagai berkata terdapat kecederaan akibat gegaran kuat yang berlaku pada 2.15 petang waktu tempatan itu.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan pusat gempa pada kedalaman 44 kilometer. Rakaman langsung menunjukkan serpihan kaca bertaburan di atas jalan.

Menurut NHK, penduduk Hachinohe dilaporkan keluar mencari perlindungan di dewan bandar.

Kyodo pula melaporkan kira-kira 2,700 rumah di Aomori terputus bekalan elektrik di samping terdapat banyak laporan kebakaran. Gegaran itu turut dirasai di hab utara Sapporo dengan penggera kecemasan berbunyi di telefon pintar penduduk.

Seorang wartawan NHK di Hokkaido menggambarkan gegaran mendatar selama kira-kira 30 saat yang menyebabkan beliau tidak mampu berdiri ketika gempa berlaku.

Sebelum itu, JMA menjangkakan tsunami setinggi sehingga tiga meter akan melanda pantai Pasifik Jepun.

Jurucakap kerajaan, Minoru Kihara, menggesa penduduk kekal berada di tempat selamat sehingga amaran ditarik balik.Kerajaan dalam sidang media berasingan turut memberi amaran kawasan terbabit boleh mengalami gegaran kuat dalam beberapa hari akan datang.

Akibat gempa yang menggoncang sebahagian besar utara Jepun itu, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen antara Fukushima dan Aomori ditangguhkan dengan pengendali memaklumkan sebahagian perkhidmatan dijangka disambung semula pada pagi ini.

Kihara berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan mengenai sebarang 'keabnormalan' daripada dua loji tenaga nuklear di utara Jepun, sambil menambah siasatan masih dijalankan di kemudahan nuklear lain.Pada 2011, gempa berukuran 9.0 magnitud mencetuskan tsunami yang mengorbankan 18,500 orang sama ada mati atau hilang serta menyebabkan kerosakan serius termasuk peleburan teras (meltdown) yang teruk di loji nuklear Fukushima.

Tidak lama selepas gempa semalam, Tohoku Electric Power menerusi hantaran di X memaklumkan peralatan keselamatan di loji nuklear Higashidori di Aomori dan loji Onagawa di wilayah Miyagi tidak menunjukkan sebarang keabnormalan.

Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang bahagian barat Lingkaran Api Pasifik dan antara negara paling aktif secara tektonik di dunia.

Negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 125 juta penduduk, mengalami kira-kira 1,500 gegaran setiap tahun. Kebanyakannya adalah gegaran kecil, namun tahap kerosakan berbeza bergantung pada lokasi dan kedalamannya dari permukaan bumi.

Gempa bumi amat sukar diramal, namun pada Januari lalu sebuah panel kerajaan meningkatkan sedikit kebarangkalian berlaku gegaran besar di Palung Nankai di luar pesisir Jepun dalam tempoh 30 tahun akan datang kepada 75 hingga 82 peratus.

Kerajaan kemudian pada Mac mengeluarkan anggaran baharu yang menyatakan 'megagempa' sedemikian serta tsunami susulan berpotensi menyebabkan sehingga 298,000 kematian dan kerosakan mencecah AS$2 trilion (RM8.23 trilion).

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search