Indonesia tidak lagi kebal daripada ribut tropika
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: Bencana banjir dan tanah runtuh yang meragut ratusan nyawa di Sumatera baru-baru ini menjadi amaran jelas Indonesia tidak lagi ‘kebal’ daripada ancaman ribut tropika.
Penyelidik kanan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Erma Yulihastin berkata, perubahan tingkah laku ribut tropika kini meningkatkan potensi taufan mendarat dan membawa kemusnahan serius di Indonesia, sekali gus menafikan andaian puluhan tahun kedudukan Indonesia di garisan khatulistiwa melindunginya secara semula jadi daripada fenomena tersebut.
“Selama ini kita percaya putaran ribut akan melemah di kawasan khatulistiwa. Namun keadaan itu tidak lagi benar. Indonesia kini tidak lagi bebas daripada ancaman ribut tropika,” katanya, sambil merujuk Siklon Seroja pada 2021 serta Siklon Senyar tahun ini yang mengakibatkan korban besar.
Erma menegaskan kawasan berisiko tinggi seperti pantai barat Sumatera dan Nusa Tenggara perlu memberi perhatian kepada tanda awal pembentukan taufan, termasuk hujan lebat berterusan selama beberapa hari.
Beliau turut menggesa peningkatan penelitian cuaca ekstrem dan pelaburan dalam sistem ramalan saintifik bagi memastikan masyarakat lebih bersedia menghadapi ribut berbahaya.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan ribut tropika yang mencetuskan cuaca ekstrem baru-baru ini sudah bergerak menjauhi Indonesia.
Namun, agensi itu memberi amaran dinamik atmosfera lain masih berpotensi membawa hujan lebat, khususnya ketika negara kini memasuki fasa monsun.
Timbalan Ketua Meteorologi BMKG, Guswanto berkata, aliran lembapan dari Lautan Hindi semakin meningkat dan keadaan monsun dijangka menguat pertengahan Disember.
“Taufan sudah menjauh, tetapi kewaspadaan tetap perlu ditingkatkan,” katanya.
BMKG turut memantau fenomena Madden-Julian Oscillation (MJO) yang dijangka mengukuhkan pembentukan awan hujan sepanjang minggu-minggu mendatang.
Sehubungan itu, BMKG menggesa pemerintah daerah serta orang ramai meningkatkan kesiapsiagaan, terutama di kawasan mudah banjir dan tanah runtuh. Orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti ramalan dan amaran rasmi bagi mengurangkan risiko bencana.
