Kepenatan ekstrem cabar pasukan SAR
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 8 Dis: Ketua agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas), Mohammad Syafii mendedahkan pasukan SAR gabungan yang bertugas tanpa henti dalam operasi tindak balas darurat bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat kini mengalami keletihan amat serius.
Menurutnya, pasukan SAR berada di lokasi bencana sejak 25 November lepas secara berterusan, berdepan keadaan medan sukar, gangguan komunikasi dan cuaca ekstrem yang menuntut stamina luar biasa setiap anggota.
“Anggota SAR menghadapi cabaran tersendiri apabila mereka bergerak ke beberapa lokasi. Mereka perlu berjalan kaki dalam keadaan terpencil, tanpa komunikasi dan sebenarnya selepas tiga hari mereka sudah mula mengalami keletihan melampau,” katanya.
Beliau turut memaklumkan ramai anggota SAR bertugas lebih daripada 72 jam tanpa rehat ketika banjir besar dan tanah runtuh berlaku serentak.
Bagi mengatasi keadaan tersebut, Basarnas menambah kekuatan pasukan dengan mengerahkan pasukan simpanan untuk menggantikan petugas yang keletihan termasuk penglibatan tentera dan polis.
Sementara itu beban tugas meningkat susulan banyak desa terputus hubungan dan hanya boleh dicapai melalui udara sehingga memaksa pasukan SAR melakukan operasi pemindahan menggunakan helikopter berkali-kali dalam sehari.
Syafii berkata, keselamatan petugas tetap menjadi keutamaan dan proses putaran anggota kini dilaksanakan secara berkala bagi memastikan mutu operasi tetap terjaga dan mengelak risiko kemalangan.-TVS
