PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Ribut Tropika Senyar: Penduduk Selangor diminta peka siren amaran

Ribut Tropika Senyar: Penduduk Selangor diminta peka siren amaran

SHAH ALAM: Selangor bersiap siaga menghadapi Ribut Tropika Senyar yang kini sedang bergerak merentasi Selat Melaka, menuju ke pesisir Pantai Barat, khususnya kawasan antara sempadan negeri ini dan Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, memandangkan ini kali pertama Selangor berhadapan ribut tropika, beberapa persiapan dilakukan, termasuk mengaktifkan semua jentera di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya hujan berterusan menyebabkan paras air naik secara mendadak, sebanyak 1,173 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri berada dalam mod siap sedia dan ia mampu menampung sehingga 244,000 penduduk.

“Ini termasuk sekolah, masjid, dewan dan balai raya dan semua PPS ini dilengkapi dengan keperluan asas yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 344 jentera seperti kenderaan pacuan empat roda dan lori muatan berat serta 227 unit bot ditempatkan di kawasan strategik seluruh negeri, untuk tujuan kecemasan penghantaran barang keperluan asas serta sebarang operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana.

Katanya, agensi berkaitan turut diarahkan supaya melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap setiap unit kenderaan berkenaan supaya dapat terus dikerah untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan.

“Kita juga mempunyai 45 stesen amaran siren di seluruh negeri yang akan diaktifkan sekiranya dijangka paras air akan menaiki tahap bahaya.

“Saya menyeru setiap rakyat Selangor untuk berada dalam keadaan siap siaga bagi sebarang amaran serta arahan pemindahan yang diberikan oleh pegawai berkuasa ataupun ketua komuniti masing-masing.

“Sekiranya siren di kawasan perumahan anda dibunyikan dan arahan pemindahan diberikan, patuhi arahan pemindahan tersebut dan daftarkan diri anda sekeluarga di PPS yang terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, keutamaan kini adalah memastikan setiap rakyat Selangor berada dalam keadaan yang selamat.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi Unit Pengurusan Bencana Negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Beliau berkata, sebarang pemakluman rasmi situasi cuaca akan dikemaskini mengikut perkembangan di platform media sosial utama Jabatan Meterologi Malaysia serta laman web www.met.gov.my.

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search